Tambah Bidang Kemahiran Di Pondok Tahfiz : Menteri Agama

Institusi pondok perlu dibangunkan dengan penambahan pengajaran dalam bidang kemahiran dan tidak hanya tertumpu kepada agama semata-mata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dalam usaha memastikan pondok dibangunkan setanding dengan keperluan dan kehendak semasa.

Mujahid berkata, ini perlu bagi menyelaraskan bidang pengajaran dan bekas pelajar pondok dapat mengisi bidang pekerjaan di pasaran yang menjurus kepada kemahiran.

“Kita mahu pelajar pondok juga mempunyai sijil untuk memenuhi pasaran pekerjaan kelak untuk masa depan yang terjamin,” katanya pada sidang media di Pondok Tahfiz Padang Bongor di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pondok dan Jamuan Rakyat di pondok terbabit.

Hadir sama, Pengerusi PH Tanah Merah, Bahari Mohd Nor.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada pengurusan Pondok Tahfiz Padang Bongor bagi membangunkan institusi pondok itu dalam memenuhi keperluan semasa.

Mujahid berkata, dalam perkembangan yang sama, pihaknya mengalu-alukan mana-mana sekolah pondok untuk selaraskan bidang pengajian dengan kemahiran tertentu.

“Kita masih dalam peringkat perbincangan dan kita harap kerajaan negeri dapat beri kerjasama bagi membangunkan sekolah pondok supaya setanding dengan institusi sekolah tahfiz yang menjurus kepada bidang sains, kemahiran dan agro.

“Buat masa ini, sekolah tahfiz mempunyai Majlis Tahfiz Negara dalam pentadbiran dan pengurusan yang berpotensi melalui pelbagai bidang namun kini kita mahu juga fokuskan pondok agar setanding dan mampu melahirkan pelajar dwi sijil yang ada sijil agama dan kemahiran.

“Kalau boleh kita mahu bidang agama dan kemahiran selari dengan perkembangan semasa dalam usaha menghasilkan pelajar pondok dan tahfiz yang mampu memenuhi pasaran pekerjaan dan setanding lepasan pelajar institusi pengajian biasa,” katanya.

 

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/25562/BERITA/Nasional/Tambah-bidang-kemahiran-di-pondok-Mujahid

CATEGORIES