Taman awam DBKL dibenar buka masa PKP – Menteri Wilayah

Taman awam DBKL dibenar buka masa PKP – Menteri Wilayah

Setelah mengambil kira maklum balas orang awam, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengumumkan yang taman awam seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dibuka semula dengan mematuhi prosedur opersai standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, kebenaran itu diberikan setelah mengambil kira semua perkara, termasuk maklum balas bahawa penutupan taman awam itu tidak selari dengan kebenaran aktiviti oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Misalnya, riadah secara bersendirian dibenarkan, (seperti) joging secara bersendirian, berbasikal secara bersendirian, dibenarkan. Jadi ke mana nak pergi kalau taman awam ditutup?

“Maka setelah menimbang semua perkara, kita telah buat keputusan taman-taman awam DBKL hendaklah dibuka tetapi dikawal selia, iaitu SOP mestilah dipatuhi,” katanya dalam siaran langsung di Facebook tadi.

Susulan pengumuman perintah kawalan pergerakan (PKP) kali kedua yang berkuat kuasa 13 Jan hingga 26 Jan, DBKL mengumumkan menutup semua taman awam kepada orang ramai mulai 13 Jan hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Taman awam seliaan DBKL antaranya ialah Taman Botani Perdana, Taman Awam Bukit Kiara, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Manjalara dan Taman Tasik Metropolitan Kepong.

Bagaimanapun, berbeza dengan PKP pada Mac, PKP 2.0 kali ini ada membenarkan aktiviti riadah tertentu di luar rumah dengan syarat tertentu yang harus dipatuhi.

Aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan ialah joging (dalam kumpulan tidak lebih daripada dua orang dan dalam lingkungan setempat serta berbasikal (bersendirian, tidak lebih daripada 10km dari tempat kediaman).

Selain itu, Annuar turut mengumumkan program My5 akan dilancarkan pada 1 Februari secara maya, bersempena dengan Hari Wilayah Persekutuan.

“Pagi tadi saya dah hubungi perdana menteri untuk memohon ihsan dan persetujuan beliau untuk melancarkan program yang saya panggil My5 pada 1 Februari, bersempena hari Wilayah Persekutuan.

“Hari Wilayah Persekutuan (nanti) tak ada perhimpunan dan acara rasmi kerana PKP. Kita akan lancarkan secara virtual satu program yang saya panggil My5,” katanya.

Program My5 adalah program yang sedang berjalan di bawah kementeriannya bagi membantu golongan miskin bandar, terutamanya dalam masa wabak Covid-19.

Ia merangkumi lima cabang, iaitu MySchoolBus (program bas percuma), MyGrocer (menjual barang dapur pada harga diskaun), MyMedic (mendapatkan rawatan percuma), MyJob (peluang menambah pendapatan), dan MyFood (mendapat bekalan makanan percuma).

Katanya, antara program baru yang akan dilancarkan di bawah MyFood ialah MyBeras, iaitu sumbangan beras kepada kira-kira 3,000 asnaf dan mereka yang layak setiap minggu, menerusi kaunter yang dibuka di Yayasan Wilayah Persekutuan.

Mereka yang layak boleh mendapatkan kupon daripada Majlis Perwakilan Penduduk untuk ditebus di kaunter itu bagi mendapatkan beras percuma yang disumbangkan pelbagai pihak, termasuk sumbangan peribadi orang ramai, kementerian dan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Sumbangan akan dilakukan tiga kali seminggu, melibatkan sumbangan kepada anggaran 1,000 penerima setiap kali.

Untuk rekod, program MyBeras di bawah kementerian itu bukanlah program MyBeras di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak yang ditangguhkan pada 2016, yang menyasarkan memberi 20kg beras setiap bulan kepada setiap keluarga dalam tempoh ditetapkan. –MK