Taksub kepada Tuan Guru punca ajaran sesat – Timb Menteri

Menteri Agama

Taksub dan fanatik melampau kepada guru atau ketua ajaran, dikenal pasti antara lapan kriteria utama dikesan dalam ajaran sesat di Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata aspek lain meliputi tindakan berpegang kepada akidah selain Ahli Sunnah Wal Jamaah, dan mengamalkan ajaran kerohanian atau tasawuf falsafah yang bercampur aduk dengan ajaran kebatinan.

Beliau berkata, segelintir pengikut ajaran sesat juga berpegang kepada perkara khurafat dan tahyul, selain menganggap ilham, mimpi atau kasyaf sebagai sumber pegangan serta kepercayaan.

Taksub kepada Tuan Guru punca ajaran sesat - Timb Menteri

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary. Gambar Facebook Ustaz Marzuk Shaary.

“Faktor lain meliputi menyeleweng tafsiran al-hadis untuk kepentingan peribadi atau kumpulan, berpegang kepada pemikiran liberalisme dan pluralisme agama, serta menolak disiplin ilmu dan bidang kuasa pihak berkuasa agama.

“Ini sebahagian daripada kriteria utama yang sering kita temui menerusi pihak berkuasa agama dalam sesebuah ajaran sesat yang dibongkarkan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai kriteria utama yang ditemui pihak berkuasa agama dalam sesebuah ajaran sesat, bagi memberi pencerahan kepada rakyat berikutan isu terbabit berkaitan kepentingan agama.

Menjawab soalan asal Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) berhubung komitmen memastikan kesucian Islam dapat dipelihara, Ahmad Marzuk berkata, usaha sedemikian giat dirintis melalui usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Beliau berkata, JAIN secara berterusan melaksanakan aktiviti penguatkuasaan terhadap kes kesalahan jenayah syariah yang dilapor membabitkan ajaran sesat, perjudian dan kesalahan mabuk.

“Sepanjang 2020, sebanyak 33 kes dilaporkan meliputi kes berkaitan ajaran salah, pemujaan salah, doktrin palsu dan dakwaan palsu, di samping 334 kes membabitkan perjudian, berada di tempat perjudian dan 86 kes minuman yang memabukkan.

“Selain penguatkuasaan, kerjasama antara JAKIM dengan JAIN terus diperkukuh bagi memastikan kesucian agama Islam di negara ini terpelihara melalui pelaksanaan pelbagai program.

“Sebagai contoh, program peningkatan penghayatan agama dan pencegahan jenayah syariah, berbentuk webinar, forum serta kempen kesedaran jenayah syariah,” katanya.

BACA JUGA : 99.9% kehidupan bakal lenyap, saintis ramal bumi di ambang kemusnahan
Wanita ditawar RM1 juta untuk kahwini Menteri, akhirnya Tengku Zafrul buka mulut

CATEGORIES