Tak sempat tukar pemandu di Ayer Keroh, 2 pelajar UTeM maut tersepit

Oleh AHMAD SULAIMAN

Dua pelajar perempuan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan

sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer (KM) 187.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada Khamis.

Dalam kejadian sekitar jam 6.20 pagi itu, mangsa, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan, masing-masing berusia 19 tahun, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata siasatan awal mendapati kereta yang dalam perjalanan dari Johor

ke Melaka itu terbabas sendiri sebelum melanggar besi penghadang di sebelah kiri jalan.

Tak sempat tukar pemandu di Ayer Keroh, 2 pelajar UTeM maut tersepit

“Mangsa yang maut adalah penumpang di bahagian hadapan dan belakang sebelah kiri, manakala dua lagi mangsa, berusia 20 dan 21 tahun, mengalami kecederaan di bahagian kaki.

“Kami percaya mereka merancang untuk bertukar pemandu di kawasan susur keluar Plaza Tol Ayer Keroh. Siasatan lanjut masih dijalankan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lapan anggota,

Termasuk dua dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, telah dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.23 pagi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi telah terbabas dan terdapat empat mangsa di dalamnya.

“Dua mangsa berjaya dikeluarkan, manakala dua lagi yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, sementara jenazah dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

BACA: