Hampir 20 pengamal media dihalang untuk membuat sebarang liputan di pekarangan bangunan sebuah agensi kerajaan di Jalan Sentral di sini, hari ini.
Seorang individu dipercayai pegawai agensi berkenaan bertindak menyekat pengamal media untuk merakam video
Mahupun gambar berkaitan sesi rakaman keterangan yang dijalankan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Arahan siapa yang minta datang sini, ini bangunan saya, tak boleh sebarang kenyataan atau gambar di sini,” tegas individu berkenaan.
Muhyiddin tiba di pekarangan bangunan tersebut kira-kira pukul 9.28 tadi.
Rakaman keterangan dijalankan hari ini susulan ucapannya berkaitan ‘fatwa’ politik dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kempas, Johor pada 2 September lalu.
Difahamkan, keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terbabit akan diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Muhyiddin menerusi satu ceramah PRK menyifatkan tindakan mengundi bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat sebagai haram.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Pengerusi Perikatan National (PN) itu.
Muhyiddin disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
BACA: Pegawai Perubatan mengaku tidak bersalah Peluk, Raba Anak Saudara Usia 14 Tahun