Tak sangka! Rupanya gaji pengutip sampah ini cecah 5 angka sebulan
Pemilik nama Muhammad Shahrul Ezzaiky pernah dipandang hina disebabkan kerjanya yang menjadi salah seorang kru syarikat pembersihan.
Anggapan itu pernah membuatkan dirinya yang lebih mesra dipanggil Mamat itu selalu merasa segan untuk bercerita perihal pekerjaan.
Sekarang ini tidak lagi apabila dia merasa semakin selesa untuk berkongsi pengalamanya mencari rezeki di ibu kota singat melalui platform Tiktok.
Perkongsiannya itu telah mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi apabila Mamat memaklumkan hasil gajinya sebulan mencecah 5 angka selepas ditukarkan kepada mata wang ringgit Malaysia.
Berkongsi cerita hidupnya, Mamat 25 yang menetap di Kangkar Pulai berkata, dia sebelum ini telah melakukan banyak pekerjaan tetapi langsung tidak menyangka akan terlibat dalam bidang pembersihan.
‘Saya pernah berkerja jadi anggota bomba bantuan semasa di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor sebelum membuat keputusan bekerja di Syarikat pembersihan dekat Singapura bermula bulan November 2019.
“Saya masuk ke Singapura melalui rakan namun rakan tersebut telah pulang ke Malaysia kerana tidak dapat menahan semasa pandemik covid menyebabkan saya tinggal keseorangan di Singapuran pada waktu itu.
“Pada awalnya saya sedang bekerja di syarikat lain namun gajinya agak rendah untuk menampung kos hidup saya di Singapura semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kebetulan pula, syarikat abang saya bekerja sedang ada kekosongan jadi saya cubalah untuk mohon dan alhamdulilah ada rezeki saya diterima” kongsinya semasa dihubungi oleh Harian Metro.
Menurut Ezzaiky @Mamat dia dahulu adalah seorang remaja nakal malah pernah dibuang sekolah tetapi disebabkan usia yang semakin meningkat, timbul kesedaran untuk berubah.
Kata Mamat lagi, peluang untuk bekerja di Singapura juga mahu dimanfaatkan untuk membantu ibu bapa walaupun dirinya tidak mempunyai kelulusan pelajaran tinggi.
“Ada aje yang kecam saya selepas saya membuat perkongsian kisah kerja saya di Tiktok, tapi mulut orang ni kita tak boleh tutup. Saya buat tak tahu ajelah, sampai bila nak rasa malu dan sembunyikan kerja kita, lama-lama orang akan tahu juga.
Impian saya hanya satu, nak menggembirakan mak ayah, setiap kali dapat gaji saya akan dahulukan mereka.
Tujuan saya berkongsi pengalaman di Tiktok pula supaya ramai orang akan tahu kerja macam saya ni juga boleh dapat pendapatan lumayan dan usahlah dipandang hina, kongsinya lagi.
Hari ini kita dapat lihat ramai yang mula suka membuat perkongsian menerusi platform tiktok menggunakan kaedah video. Apa sahaja aktiviti kehidupan, perniagaan dapat kita lihat dengan cara kreatif masing-masing. Tidak kurang juga yang berkongsi video-video yang boleh memberikan inspirasi kepada kita.
Sebagai pengguna, kita wajib menapis terlebih dahulu apakah suapan video yang bakal disajikan kepada kita supaya kita tidak leka dan dapat memberikan manfaat kepada kita.
Semoga perkongsian daripada Mamat ini dapat memberikan manfaat dan inspirasi bahawa walaupun seseorang itu tidak mempunyai kelulusan pelajaran yang tinggi, kita masih berpeluang untuk mengubah hidup kita dan memperoleh pendapatan yang kita inginkan asalkan berusaha sedaya upaya walaupun dengan menggunakan kudrat tenaga.
BACA: Walaupun diejek bekas banduan, pemuda buktikan mampu raih pendapat RM7000 sebulan