Demi peminat dan Konsert Tsumawi 20th Mawi World Live in KL tahun depan, penyanyi Mawi
sanggup mengorbankan rambut panjang yang disimpannya sejak tujuh tahun lalu.
Rambutnya dipotong sendiri oleh isterinya, Ekin Rahmat. Mawi, atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 43,
berkata dia rela dan tidak menganggapnya sebagai masalah demi konsert solo keduanya itu.
“Kalau ditanya tentang perasaan, bila lihat anak saya, Cahaya Malaika, sedih, saya pun rasa begitu. Imej botak ini memang sudah sinonim dengan saya sejak mula menceburi industri hiburan.
“Kerana konsert ini, saya rasa tak mengapa kalau berkorban sedikit. Bukan sesuatu yang besar pun, dan imej ini memang perlu dikekalkan sehingga hari konsert,” katanya dalam sidang media Konsert TsuMawi 20th di sini, hari ini.
“Isteri dan keluarga selalu bertanya, tetapi saya tetap dengan pendirian dan prinsip saya untuk mengekalkan rambut panjang.
“Tak sangka pula hari ini saya botakkan kepala. Tak rancang pun, tetapi sudah terjadi,” tambahnya.
“Saya simpan rambut sejak 2017, sudah tujuh tahun. Sepanjang saya berambut panjang, ramai yang tidak berpuas hati.
“Pada asalnya, saya simpan rambut ini kerana filem Munafik 2. Waktu itu, Syamsul minta saya simpan rambut panjang, tetapi tak sangka pula saya sayang nak potong.
“Ada yang tidak suka, terutama apabila saya berjumpa peminat dalam kalangan golongan berusia, tetapi saya hanya senyum sahaja,” jelasnya.
“Ini adalah hadiah untuk peminat dan sebagai tanda bahawa saya masih aktif dalam industri nyanyian. Saya gembira kerana akhirnya berjaya merealisasikan konsert solo setelah sekian lama tidak berada di pentas besar.
“Secara dasarnya, saya mahu meraikan ulang tahun ke-20 sebagai penyanyi.
“Sebelum ini, sudah ada perancangan, tetapi belum diizinkan-Nya. Hanya baru sekarang ia akan direalisasikan,” kongsinya.
BACA: Peranan Dr Akmal dikurangkan dalam PRK Mahkota demi undi kaum cina, sekali ini respon Ahmad Maslan