Perbuatan sihir masih wujud dalam kalangan masyarakat walaupun ia diketahui salah dan haram,
serta boleh menyebabkan pengamalnya berdosa besar di sisi agama Islam.
Amalan syirik ini biasanya didorong oleh perasaan dendam, cemburu, hasad dengki, dan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara.
Kebiasaannya, sihir ditujukan kepada individu tertentu, namun insiden di Setiawangsa, Kuala Lumpur berbeza apabila pelaku menyasarkan sebuah organisasi besar.
Berdasarkan perkongsian di Facebook, tular gambar patung kecil mirip sihir voodoo
yang dibaluti kain kuning bertulisan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan dicucuk dengan beberapa batang jarum.
Patung misteri tersebut dikatakan ditemui di atas jalan di kawasan pusat perniagaan di Setiawangsa, dan kawasan tersebut ditanda dengan pita larangan DBKL.
Berdasarkan gambar yang dikongsi, dipercayai tindakan itu dilakukan kerana ketidakpuasan hati terhadap DBKL selepas kawasan tersebut dijadikan kawasan larangan.
Tindakan itu mengundang reaksi lucu dalam kalangan netizen yang menganggap sihir tersebut tidak akan berjaya kerana ia terlalu umum.
“Jin pun pening nak tuju kat siapa sebenarnya ni. Dekat bangunan tak kena, lori DBKL pun tak kena, pekerja ramai sangat pula.
“Ilmu tuju kena sebut jelas. DBKL tu siapa? Datuk Bandar ke, ketua penguat kuasa ke? Atau ketua jabatan kejuruteraan?
“Untuk semua staf DBKL? Saya pun kadang-kadang hangin juga dengan DBKL tetapi tidaklah sampai tergamak nak buat macam ni.
“Maaf, permohonan sihir ditolak sebab terlalu umum, kena spesifikkan individu, nanti tak pasal mak cik cleaner di ibu pejabat DBKL yang kena, kesian dia tiada kena mengena,” kata netizen.
BACA: ‘Orang lain berhutang, kami pula tanggung malu’ Kes naya, Ah long salah simbah rumah