Tak pertanding 5 jawatan utama, Bersatu ibarat cakap tak serupa bikin

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Bersatu kini berada dalam suasana pemilihan parti yang akan menentukan siapa yang akan memegang beberapa jawatan tertinggi parti itu.

Antara jawatan yang akan menyaksikan persaingan sengit adalah Naib Presiden, Ketua Armada, dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Menariknya, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mencadangkan ‘pelan kompromi’ yang direstui oleh MPT dengan tujuan mengelakkan perpecahan dalam parti.

Fokus utama pemilihan kali ini tertumpu pada tiga jawatan Naib Presiden.

Difahamkan restu diberikan kepada tiga pemimpin kanan, iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin

Tak pertanding 5 jawatan utama, Bersatu ibarat cakap tak serupa bikin

Mereka yang akan mempertahankan jawatan mereka, manakala Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga berminat untuk merebut kedudukan tersebut.

Namun, dua lagi ahli MPT, Datuk Razali Idris dan Timbalan Ketua BERSATU Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah, mengejutkan ramai apabila mereka juga menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

Menurut Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, tindakan kedua-dua ahli MPT ini mengecewakan Muhyiddin kerana mereka tidak mematuhi pelan kompromi yang dicadangkan bagi memastikan pemilihan berjalan dengan harmoni.

Perkembangan ini memperlihatkan wujudnya kem dalam BERSATU yang dikaitkan dengan Hamzah Zainudin dan Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang kini berusaha merebut jawatan utama dalam parti.

Dalam senario ini, dua penyandang iaitu Ronald dan Mohd Radzi dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan jawatan Naib Presiden, namun peluang Ahmad Faizal mungkin terancam apabila ahli MPT lain, seperti Razali, mula mencabar kedudukannya.

Razali, sebagai Ketua Penerangan parti, dilihat mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan dan akar umbi, memberikannya kelebihan dalam persaingan ini. Sekiranya Ahmad Faizal tewas, peluangnya untuk kekal relevan dalam kepimpinan nasional akan semakin terjejas, mungkin membuka laluan kepada Hamzah untuk mendaki hierarki parti.

Pemilihan kali ini dijangka mengundang perpecahan serius yang boleh menjejaskan persiapan BERSATU dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

BERSATU kini dilihat seperti parti yang sedang menghadapi krisis dalaman selepas gagal membentuk kerajaan pasca PRU15. Antara masalah awal yang melanda parti ini adalah pemecatan pemimpin utama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Maszlee Malik, dan Syed Saddiq Abdul Rahman pada tahun 2020.

Selain itu, BERSATU juga kehilangan beberapa pemimpin penting apabila Ketua BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bersama 14 ADUN dan lima Ahli Parlimen keluar parti pada Disember 2022 untuk membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyertai Kerajaan Perpaduan.

Pada bulan Jun lalu, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN di Selangor digugurkan keahlian kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, siri kekalahan BERSATU dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) menunjukkan kelemahan parti dalam membina kekuatan di akar umbi. Kegagalan ini menyebabkan BERSATU terpaksa bergantung kepada PAS untuk jentera politik dan calon dalam pilihan raya.

Masalah ini berpunca daripada matlamat penubuhan BERSATU yang hanya dilihat sebagai platform alternatif untuk orang Melayu, menggantikan UMNO, tanpa roh perjuangan yang kukuh seperti UMNO atau PAS.

BERSATU perlu melakukan pembaharuan politik dengan segera, termasuk pengunduran Muhyiddin sebagai Presiden bagi memberi laluan kepada pemimpin pelapis.

Parti ini juga perlu menghapuskan persepsi bahawa ia hanyalah pengganti UMNO dan mewujudkan identiti baharu yang tidak bergantung kepada ahli yang berpindah dari parti lain.

BERSATU juga perlu berani bertanding atas simbol sendiri tanpa bergantung kepada kekuatan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan pengenalan yang lebih baik di kalangan rakyat.

Jika pembaharuan drastik ini tidak dilakukan sebelum PRU16, masa depan BERSATU akan terus tidak menentu, dan parti ini berisiko terkubur seperti parti Melayu dan Islam lain sebelum ini.

BACA: Member lelaki bawa ‘hanger’ ligan ingatkan rakan solat raih perhatian