Bayangkan anda sedang memandu di jalan raya, tiba-tiba terdapat sekatan jalan raya yang dibuat di arah yang berlawanan.
Ketika melihat pihak polis menjalankan tugas pada laluan bertentangan, anda tergerak untuk melihat tarikh luput lesen kenderaan anda.
Mata anda terbeliak, apabila tarikh luput lesen kenderaan anda sebenarnya sudah lama tamat tempoh sejak beberapa bulan lepas.
Berbeza dengan lesen memandu, tarikh luput lesen kenderaan tidak mengikut tarikh lahir pemilik kenderaan. Maka, tidak hairanlah jika ramai yang terlupa atau terlepas pandang.
Bayangkan pula jika jalan yang anda perlu lalui selepas ini ada sekatan jalan yang sama. Pasti anda akan berasa terdesak untuk segera memperbaharui cukai jalan, bukan? Namun, apabila melihat jam, alamak, pejabat JPJ dan Pejabat Pos sudah tutup. Bagaimana pula nak buat?
Jika anda mengalami masalah tersebut, jangan risau kerana anda boleh memperbaharui lesen tersebut secara dalam talian menerusi aplikasi MyJPJ.
Selaras dengan Langkah Digitalisasi yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan, kebanyakan urusan melibatkan dokumentasi pengangkutan kini sudah didigitalisasikan. Pengguna juga tidak lagi perlu mengambil lesen kenderaan secara fizikal kerana format digitalnya (e-LKM) sudah tersedia di dalam aplikasi MyJPJ.
Yang lebih menyeronokkan, urusan pembaharuan e-LKM juga boleh dilakukan secara dalam talian menerusi peranti pintar anda. Dengan ini, anda boleh memperbaharui e-LKM bagi kereta anda, tanpa mengira masa dan di mana jua anda berada.
Langkah-langkahnya juga sangatlah mudah, tidak jauh berbeza dengan cara anda membeli belah di platform maya.
Pertama sekali, anda perlu membuka aplikasi MyJPJ dan klik pada bahagian ‘Profil’ yang tertera pada bawah penjuru kanan paparan skrin anda.
Anda akan menjumpa dua jenis Lesen iaitu Lesen Memandu dan Lesen Kenderaan Motor. Klik pada bahagian ‘Lesen Kenderaan Motor’.
Seterusnya, paparan skrin akan menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan yang didaftarkan di atas nama anda. Pilih nombor pendaftaran kenderaan yang tepat bagi lesen kenderaan motor ingin diperbaharui.
‘Scroll’ skrin sehingga terjumpa pilihan ‘Pembaharuan’ dan klik pada bahagian tersebut.
Seterusnya, pilih tempoh pembaharuan serta mod pembayaran mengikut pilihan anda.
Apabila selesai membuat pilihan, klik pada butang ‘Bayar’. Aplikasi tersebut akan membawa anda ke terminal pembayaran dan anda perlu mengisi maklumat kad debit atau kad kredit yang ingin digunakan untuk membuat bayaran.
Setelah selesai, klik ‘Proceed’ dan anda akan menerima kod MSOS menerusi SMS. Masukkan kod MSOS pada ruangan sepatutnya dan klik ‘Submit’.
Jika tiada sebarang masalah, pembayaran berjaya dilakukan dan anda boleh menyimpan resit sebagai rujukan.
BACA: Hidup mewah hasil duit derma, rahsia ‘pemilik rumah anak yatim’ akhirnya terbongkar