Demi memastikan ahli mempunyai sekurang-kurangnya Simpanan Asas sebanyak RM240,000 untuk kelangsungan hidup semasa persaraan,
kerajaan tidak membenarkan sebarang pengeluaran dari Akaun Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Memetik laporan dari Berita Harian, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, menyatakan bahawa
KWSP merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang diberi mandat oleh kerajaan
untuk membantu ahli menyediakan simpanan persaraan demi kesejahteraan hidup pada usia tua.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengeluaran bagi tujuan haji boleh dilakukan melalui Akaun Sejahtera, yang diperkenalkan sejak 2013, untuk ahli beragama Islam di bawah usia 55 tahun yang telah terpilih oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menunaikan haji.
Sejak diperkenalkan, sebanyak 6,070 permohonan pengeluaran haji daripada Akaun Sejahtera telah diluluskan, dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM16.7 juta, atau purata RM2,759 bagi setiap permohonan.
Lim juga menambah bahawa Akaun Persaraan, sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1, bertujuan sebagai simpanan persaraan dan melibatkan 75 peratus daripada keseluruhan caruman KWSP.
Selain itu, ahli dibenarkan membuat pengeluaran untuk tujuan lain seperti perumahan, insurans hayat, penyakit kritikal, pendidikan, kesihatan (termasuk rawatan kesuburan), serta pengeluaran pada usia 50 tahun melalui Akaun Sejahtera.
Beliau turut menyebut mengenai Akaun Fleksibel yang diwujudkan bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran untuk pelbagai tujuan pada bila-bila masa yang diperlukan.
BACA: Ini punca sebenar tayar botak tengah, luar dan dalam ramai wanita tak tahu, yang dia tahu bawa je