Tak bayar sewa ofis, Twitter kena saman. Twitter disaman oleh pemilik hartanah menempatkan ibu pejabatnya di pusat bandar San Francisco, kerana gagal membayar sewa untuk tapak berkenaan.
Pentas media sosial yang kini dalam proses pengurangan kos di bawah Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Elon Musk itu berhutang AS$136,260 (lebih RM600,000) kadar sewa.
Maklumat itu terkandung dalam tuntutan mahkamah yang difailkan Khamis lalu oleh Columbia Property Trust, seperti mana dilaporkan New York Post.
Terdahulu, New York Times melaporkan Musk dan penasihatnya berharap untuk berunding semula syarat perjanjian pajakan bangunan terbabit selepas memberhentikan ramai kakitangan syarikat itu.
Menurut laporan The Times Jumaat lalu pula, Twitter, yang menutup pejabatnya di Seattle, turut memotong perkhidmatan kebersihan dan keselamatan di pejabat berkenaan.
Musk membeli Twitter dengan harga AS$44 bilion (RM193.8 bilion) pada Oktober lalu dan sudah mengurangkan kos dengan pelbagai cara sejak pengambilalihan itu.
Kakitangan pembersihan dan keselamatan turut diberhentikan dari pejabat syarikat itu di New York serta San Francisco.
Pada malam sambutan Krismas, Musk mengarahkan kakitangan ke pusat data di Sacramento untuk menutup pelayan utama sebagai langkah penjimatan kos, lapor The Times.
Sementara itu, pemberhentian pekerja masih diteruskan dengan bahagian infrastruktur dan dasar awam syarikat bermula minggu lalu, menurut laporan itu lagi.
Pekerja juga diarah untuk menangguhkan pembayaran kepada kontraktor atau vendor, termasuk akauntan dan perunding yang bekerjasama dengan syarikat itu.
Menurut laporan itu lagi, Twitter juga disaman kerana gagal membayar hampir AS$200,000 (RM881,000) untuk penyewaan penerbangan sewa khas yang dibuat pada minggu Musk mengambil alih.
Pekerja Twitter menjangkakan lebih banyak pemberhentian kerja dan pemotongan kos operasi akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
BACA JUGA :
Kerajaan dijangka naikkan cukai ‘dosa’
Duit RM881 Billion milik Elon Musk hilang
RM22,300 milik pelajar tingkatan 6 ghaib kena tipu sindiket pelaburan