Tajuddin dipecat dari Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno

Tajuddin dipecat dari Majlis Kerja Tertinggi MKT Umno

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Memetik laporan FMT, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, merakamkan terima kasih kepada Tajuddin atas khidmat beliau sebagai ahli majlis tersebut, menurut surat tular yang dilihat FMT.

“Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) melalui surat ini menamatkan pelantikan Datuk Seri sebagai ahli MKT Umno,” katanya dalam surat bertarikh 21 Jun.

Bagaimanapun Ahmad tidak menyatakan sebab Tajuddin dipecat dalam surat itu.

Ahmad menulis Umno berharap Ahli Parlimen Pasir Salak itu akan meneruskan khidmat sebagi ahli parti yang komited. Turut dirakamkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai duta besar.

Tajuddin pada Ahad mengesahkan terima watikah pelantikan sebagai duta besar Malaysia ke republik itu. Beliau menggantikan Zainal Abidin Bakar yang bersara pada 4 April 2021.

Pelantikan Tajuddin mengundang tanda tanya dan kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk wakil rakyat dan diplomat.

Antara lain mereka mempersoalkan kelayakan Ahli Parlimen Pasir Salak itu menjadi duta ke Indonesia.

Mereka mendakwa, perwatakan Tajuddin yang sinonim dengan kenyataan kontroversial di dalam dan luar Dewan Rakyat, tidak sesuai dengan jawatan sebagai diplomat ke negara jiran yang penting bagi Malaysia.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun mempertahankan pelantikan itu, menyifatkan Tajuddin sebagai ahli politik yang berpengalaman.

Sebelum ini, Tajuddin digugurkan sebagai pengarah pilihan raya Umno. Beliau juga dilihat sering bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu termasuk masa sesuai untuk PRU15 diadakan.

Tajuddin juga pernah dipecat sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd pada Mei 2021, beberapa hari selepas kenyataannya berhubung kemalangan LRT yang mengundang kritikan orang ramai.

 

BACA JUGA :

Tajuddin bakal jadi duta Malaysia ke Indonesia?

Tak pakai face mask, Tajuddin kena kompaun lagi

Masuk kerajaan PN adalah keputusan Umno yang salah, kata Tajuddin

CATEGORIES