Tahniah rakyat Malaysia berjaya menolak kleptokrat

Tahniah rakyat Malaysia berjaya menolak kleptokrat

AMANAH mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas kegigihan perjuangan menolak kleptokrat yang akhirnya telah berhasil apabila Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah semalam.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, kemenangan dalam perjuangan melawan penyangak tidak mungkin tercapai sekiranya rakyat negara ini tidak mempunyai keberanian untuk menukar kerajaan pada 2018.

“Terlalu ramai yang telah berperanan dalam saga ini, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi antara pihak terawal membangkitkan isu ini, iaitu sejak 2012.

“Ucapan terima kasih perlu diberikan juga kepada Tony Pua, Rafizi Ramli dan beberapa yang lain yang telah menjadi juara dalam memastikan isu ini difahami oleh rakyat,” katanya.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (sekarang Damansara) Tony Pua buat pertama kali mendedahkan salah laku dalam 1MDB di Dewan Rakyat pada 2010.

Semalam, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mengulas lanjut, Khalid berkata, siri jelajah penerangan telah menjadi pencetus kepada gerakan menolak kleptokrat oleh rakyat jelata.

“Pimpinan Umno-BN seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal turut terkesan dengan perjuangan ini sehingga mereka terpelanting dari Umno-BN dan kerajaan kerana menolak amalan khianat yang terdapat dalam 1MDB,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Tun Mahatir sebagai Perdana Menteri sebelum ini yang telah memulakan siasatan dan tindakan pendakwaan terhadap Najib atas penyelewengan dan pecah amanah terbabit.

“Ini adalah antara janji terutama di dalam manifesto PH untuk PRU-14 yang jelas telah ditunaikan oleh PH.

“Begitu juga diucapkan terima kasih kepada bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dan kakitangan beliau di Jabatan Peguam Negara yang memberikan fokus untuk memastikan pendakwaan terhadap Najib dan semua golongan kleptokrat berasaskan fakta yang kukuh dan tepat sehingga walaupun kerajaan bertukar, usaha pendakwaan dan sabit kesalahan tetap berjaya,” katanya.

Merompak wang negara

Sehubungan itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berharap dengan jatuhnya hukuman ke atas Najib itu akan menjadi permulaan kepada kelangsungan tindakan undang-undang terhadap gerombolan kleptokrat yang mencuri dan merompak wang negara.

“Biar semua memahami rakyat ‘Malaysia Baharu’ ini tidak akan menerima amalan rasuah dan kleptokrasi walaupun oleh pihak yang paling berkuasa di dalam bumi bertuah ini.

“Tahniah rakyat Malaysia. Ini kemenangan kita bersama!” tambah Khalid lagi.

Isu kleptokrasi yang dikaitkan dengan Najib dan skandal mega 1MDB melibatkan wang berbilion ringgit menggemparkan negara bahkan dunia menjelang PRU-14 sehingga menyaksikan BN tumbang pada 9 Mei 2018.

Kemenangan PH yang berjaya memperoleh majoriti mudah di 113 kerusi Parlimen manakala BN hanya mampu menang di 79 kerusi Parlimen sekali gus membenamkan 61 tahun pentadbiran BN.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/tahniah-rakyat-malaysia-perjuangan-tolak-kleptokrat-berhasil/

COMMENTS