Syarat terlalu ketat sukarkan PKS buat pinjaman Skim Kredit Mikro

Syarat terlalu ketat sukarkan PKS buat pinjaman Skim Kredit Mikro

KERAJAAN PERLU CAMPURTANGAN UNTUK MEMASTIKAN KELANCARAN
PELAKSANAAN INSENTIF PAKEJ PRIHATIN

Pada 27 Mac 2020 yang lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan dana Kemudahan Bantuan Khas (KBK) sebanyak RM5 bilion dan Skim Kredit Mikro BSN  sebanyak RM500 juta dalam usaha menyelamatkan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS)  yang hebat ditampar oleh cabaran ekonomi semasa.

Dana pembiayaan ini membolehkan perniagaan PKS yang terjejas akibat COVID-19 untuk   memohon bantuan pembiayaan untuk meringankan beban aliran tunai jangka pendek yang dihadapi PKS apatah lagi dengan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga fasa ketiga yang merencatkan aktiviti perniagaan PKS.

Namun, Kementerian Kewangan mengumumkan setakat 12 April ini, hanya 30% daripada dana KBK tersebut telah diluluskan kepada 3 ribu peminjam dengan purata nilai pinjaman sebanyak RM500 ribu. Manakala, hanya 5% daripada Skim Kredit Mikro telah diluluskan kepada 225 syarikat dengan purata nilai pinjama sebanyak RM50 ribu.

Peratusan kelulusan tersebut adalah terlalu rendah sewaktu hampir kesemua syarikat PKS sedang bergelut dengan kehilangan jualan sepanjang tempoh PKP. Malah, dalam satu kajian yang dijalankan oleh Persatuan PKS Malaysia melibatkan 15,627 buah syarikat PKS, 70% syarikat PKS mempunyai simpanan tunai yang hanya mampu bertahan paling lama sehingga bulan April 2020.

Usahawan-usahawan PKS juga memaklumkan kepada saya bahawa kelewatan kelulusan pinjaman ini turut disumbangkan oleh tindakan pihak bank yang menetapkan syarat permohonan terlalu ketat seperti masih meminta jaminan peribadi pengarah syarikat walaupun pinjaman tersebut akan dijamin sepenuhnya oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Dalam keadaan ekonomi semasa, ramai usahawan PKS ini terpaksa bergantung kepada aset peribadi untuk membiayai kos operasi perniagaan selain untuk menampung perbelanjaan harian. Adalah tidak adil untuk memaksa mereka mengambil risiko mencagarkan pula aset-aset peribadi tersebut untuk memohon pembiayaan KBK sedangkan jaminan telah disediakan oleh agensi kerajaan.

Sesetengah bank juga meletakkan syarat bahawa pinjaman hanya boleh diambil sehingga  20% daripada jumlah jualan tahun lepas. Ini bermakna, pinjaman tersebut hanya boleh menampung perbelanjaan syarikat untuk selama kira-kira 3 bulan sahaja sedangkan keadaan ekonomi dijangka terus mencabar untuk sekurang-kurangnya 6 hingga 9 bulan yang akan datang.

Tindakan meletakkan pelbagai syarat yang ketat ini akan menggagalkan matlamat pakej Prihatin tersebut untuk membuka jalan kepada usahawan PKS mendapatkan pembiayaan demi kelangsungan perusahaannya.

Tanpa campurtangan segera daripada pihak Kerajaan, segala inisiatif yang diumumkan di bawah pakej rangsangan Prihatin Tambahan itu akan hanya kekal sebagai angka-angka yang tampak indah di atas kertas tetapi gagal membawa kesan rangsangan yang dikehendaki kepada ekonomi.

Justeru, Kerajaan digesa untuk memantau pelaksanaan program-program pembiayaan ini dan meletakkan garis panduan yang jelas agar institusi perbankan tidak mengambil langkah berlebihan dalam mengelakkan risiko kredit. Institusi-institusi kewangan ini harus sama-sama memainkan peranan untuk membina kembali ekonomi negara.

Saya juga berharap campurtangan proaktif daripada pihak Kerajaan dapat memastikan semua insentif di bawah pakej Prihatin Tambahan akan dapat disalurkan secepat mungkin kepada syarikat-syarikat yang memerlukan dan tidak lagi dibelenggu kerenah brokrasi insititusi-institusi pelaksana.

DATO’ HAJI MAHFUZ OMAR
Naib Presiden Parti AMANAH Negara
Ahli Parlimen Pokok Sena