Surat minta ketua kampung Cina sokong Azmin : MB Johor digesa beri penjelasan

Surat minta ketua kampung Cina sokong Azmin : MB Johor digesa beri penjelasan

Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad digesa menjelaskan mengapa kerajaan negeri itu meminta ketua kampung masyarakat Cina untuk memberikan ikrar menyokong Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata Hasni perlu memberitahu rakyat Johor sekiranya beliau membenarkan amalan ini.

“Bukankah sokongan yang ditagih daripada ketua masyarakat Cina kepada Azmin satu tindakan membelakangi kerajaan Negeri Johor malah tidak menghormati MB sebagai Ketua Negeri?

“Apakah muslihat politik itu ialah supaya kerajaan Johor dan PN Johor yang terdiri daripada Umno, Bersatu dan PAS Johor, tunduk kepada Azmin,” soal Syed Ibrahim (gambar, bawah).

Azmin yang juga menteri kanan ialah anak jati Selangor yang tidak mempunyai akar umbi di Johor dan bukan ahli Umno, yang mana Hasni merupakan pemimpinnya.

Malaysiakini telah cuba menghubungi pejabat Hasni untuk meminta penjelasan tetapi masih belum mendapat maklum balas.

Semalam, exco kerajaan negeri dan ahli parlimen bebas Chong Fatt Full mengesahkan bahawa ketua kampung masyarakat Cina di Johor diminta menandatangani surat ikrar sokongan itu.

Menurut salinan surat yang dilihat Malaysiakini, penandatangan akan memberikan “sokongan padu” kepada “wadah politik baru” yang ditubuhkan di bawah kepimpinan Azmin.

Chong mendakwa tidak seperti ketika pentadbiran PH di Johor, ketua kampung yang baru ini tidak perlu menjadi ahli parti pemerintah.

“Jadi (pemilihan) kali ini saya atau pegawai saya tidak meminta sesiapa untuk keluar daripada mana-mana parti.

“Kami hanya mahu mereka (calon ketua masyarakat) tandatangan. Jadi mereka boleh tonjolkan pendirian mereka,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/530006

COMMENTS