Perpecahan dalaman sehingga membentuk dua kem dalam BERSATU tidak lagi dapat ‘disembunyikan’
Dengan adanya bantahan demi bantahan sebaik sahaja keputusan pemilihan jawatankuasa peringkat Armada, Srikandi, dan Srikandi Muda diumumkan.
Menurut penganalisis politik, perpecahan ini ibarat retak menanti belah, semakin ketara
Dan memberi gambaran awal keputusan di peringkat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bagi penggal 2024-2027.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan di Universiti Malaya (UM),
Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, berkata kemenangan dua pemimpin dari kem berbeza bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua Armada BERSATU memberi petanda pergolakan dalaman sukar dipulihkan.
“Saya berpandangan kemenangan Hilman (Muhammad Hilman Idham) sebagai Ketua Armada dari kem Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan Muhammad Faiz Rahmad sebagai Naib Ketua dari kem Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin) bakal menyebabkan keadaan parti menjadi tidak stabil dan dijangka sukar bekerjasama.
“Selepas pemilihan pun, saya lihat sukar bagi kedua-dua pemimpin Armada ini mencapai kata sepakat untuk memperbaiki hubungan dalam kalangan pemimpin muda dan ahli Armada,” katanya kepada BH.
Beliau mengulas bantahan dari pihak Armada yang mempersoalkan ketelusan pemilihan sayap parti itu.
Sebelum ini, Penolong Setiausaha Armada, Muhammad Faiz Rahmad, meminta penjelasan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) tentang sama ada proses pemilihan kali ini dipengaruhi oleh agenda peribadi atau campur tangan individu tertentu.
Selain itu, calon Ketua Srikandi Muda BERSATU, Nurul Fadzilah Kamaruddin, meluahkan rasa kecewa terhadap proses pemilihan yang didakwa bermasalah sehingga keputusan asal ditukar pada saat akhir.
Nurul Fadzilah, bekas Ketua Srikandi Muda penggal lalu, terkejut apabila JPP menangguhkan keputusan pemilihan sayap Srikandi Muda pada malam hari mengundi (Sabtu), meskipun dimaklumkan bahawa beliau sudah memenangi jawatan tersebut.
Dalam persaingan tiga penjuru itu, Nurul Fadzilah tewas kepada Ketua BERSATU Bahagian Kapar, Nurul Ezzati Azmi.
Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk jawatan Ketua Srikandi turut memberi ‘isyarat’ bahawa pertembungan besar bakal berlaku dalam kepemimpinan BERSATU.
“Mas Ermieyati berasal dari kem Hamzah. Jadi, keputusan ini menunjukkan perpecahan antara kem Azmin dan Hamzah dalam kepemimpinan parti semakin kritikal.
“Jangkaan saya, BERSATU akan terus bergolak secara dalaman meskipun selepas pemilihan selesai,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan, berpandangan BERSATU berada di titik paling lemah dengan pelbagai perseteruan yang diburukkan lagi oleh kemelut antara kem Mohamed Azmin dan Hamzah.
“Bantahan demi bantahan (selepas pemilihan peringkat sayap BERSATU) berpunca daripada persaingan antara kem Azmin dan Hamzah.
“Kita lihat Srikandi berpihak kepada kem Hamzah manakala Hilman yang dilantik sebagai Ketua Armada diketahui sangat rapat dengan Azmin.
“Oleh itu, bantahan yang timbul (susulan keputusan pemilihan) boleh dianggap sebagai faktor yang akan memecahbelahkan BERSATU, yang sudah berada dalam keadaan lemah,” katanya.
Tambahnya, ‘kemuncak’ bagi pemilihan jawatankuasa BERSATU adalah untuk menentukan kem mana yang akan menguasai parti itu.
“Seramai 20 MKT BERSATU akan menentukan kem mana yang akan menguasai parti ini, sama ada Azmin atau Hamzah.
“Bagaimanapun, Azmin mungkin berdepan cabaran kerana dikaitkan dengan skandal rasuah melibatkan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) dan dakwaan menyimpan sejumlah wang yang besar atau ‘safe house’.
“Ini mungkin menyukarkan kem Azmin untuk menguasai 20 kerusi MKT.
“Begitu juga jika Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tewas dalam persaingan merebut tiga jawatan Naib Presiden,
kemungkinan besar Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijangka mempertahankan kerusi Presiden akan menarik Ahmad Faizal, yang telah banyak berkorban, untuk dilantik sebagai Setiausaha Agung berbanding Azmin,” katanya.
Tambahnya, jika situasi ini berlaku, BERSATU dijangka semakin lemah akibat perpecahan dalaman yang tidak dapat dibendung lagi.
BACA: Wanita ajar cara pantas lagi mujarab bersihkan kotor pada selipar viral