Sultan titah hadiri Bon Odori, ini respon Menteri Agama. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad enggan melayan apabila ditanya adakah beliau akan mengikut titah Sultan Selangor supaya menghadiri festival Bon Odori untuk “memahami perbezaan antara agama dan budaya”.
Ketika ditanya wartawan, beliau berulang kali menolak sebarang soalan mengenai perayaan musim panas masyarakat Jepun itu.
“Bon Odori ini saya tak nak panjang sangat,” katanya ketika ditemui dalam majlis perasmian dewan terbuka, pecah tanah dan anugerah huffaz.
Beliau juga meminta wartawan bertanya soalan lain dan enggan bercakap mengenai festival itu lagi.
Pada 6 Jun lalu, Idris memberitahu supaya umat Islam tidak menyertai festival Bon Odori, dengan mendakwa perayaan itu “dipengaruhi unsur agama lain”, berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat program kebudayaan Jepun yang akan diadakan di negeri itu dan meminta Idris turun padang melihat sendiri festival berkenaan.
Sultan titah hadiri Bon Odori, ini respon Menteri Agama
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu menteri itu menggunakan platform Jakim untuk membuat “kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasinya.”
Sultan Selangor bertitah, baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan itu pada 2016 diiringi duta besar Jepun ke Malaysia dan menerusi pemerhatian, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir menyaksikan.
Titahnya, baginda tidak mahu pihak tertentu khususnya ahli politik menggunakan isu menyentuh sensitiviti agama sebegini untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata.
Baginda menggesa mereka agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam.
Festival tahunan itu yang dianjurkan oleh masyarakat Jepun di Malaysia kembali diadakan selepas berehat selama dua tahun disebabkan wabak Covid-19. Ia akan diadakan di Shah Alam pada 16 Julai dan Pulau Pinang pada 30 Julai.
BACA: Faizal Ismail kahwin baru di Madinah? “Saya jadi saksi pernikahan mereka..”
Azmin Ali dan Rashid Hasnon disebut bakal tinggalkan Bersatu?