Sultan Kedah Menyokong Usaha Kerajaan Perkenal Konsep Negara RAHMAH

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah meminta rakyat tidak bersikap mementingkan diri sendiri sehingga sanggup memusnahkan agenda penyatuan dan perpaduan.

Titah baginda semua pihak hendaklah sentiasa bersikap terbuka, berlapang dada, berbaik sangka dan saling menghormati atas dasar persaudaraan tanpa mengira latar belakang bangsa, warna kulit atau fahaman politik.

“Sedarlah kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air dan tanah tumpah darah yang berdaulat ini kerana di sini tempat tinggal, punca rezeki dan nadi kehidupan kita sehari-hari.

“Janganlah ada dalam kalangan kita bersikap mementingkan diri sendiri sehingga sanggup memusnahkan segala agenda penyatuan dan perpaduan sehingga rela membiarkan negara terancam, retak dan hancur angkara perbuatan manusia tidak bertanggungjawab,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri bertemakan ‘Negara Rahmah, Ummah Sejahtera’ di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Terdahulu keberangkatan tiba baginda ke Dewan Seri Negeri diiringi Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sultan Sallehuddin bertitah, baginda menyokong usaha kerajaan memperkenalkan konsep Negara Rahmah, khususnya melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin berteraskan ajaran Islam sebenar.

“Negara Rahmah haruslah merangkumi agenda reformasi pemikiran, pemurnian semula falsafah kehidupan dan pelaksanaan pendekatan pengurusan ummah menggunakan acuan menyeluruh.

“Ia adalah untuk membawa matlamat kesejahteraan hidup, keharmonian serta keprihatinan kepada semua makhluk.

“Pendekatan ini wajar diterima semua pihak tanpa mengira fahaman dan warna politik untuk mencapai status negara maju khususnya dalam menyerlahkan kesyumulan Islam yang relevan dan sesuai sepanjang zaman,” titahnya.

Sumber :
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/602511/jangan-musnahkan-agenda-perpaduan-sultan-kedah