“Sudahlah nak pura-pura jadi wali, duit hantaran kahwin aku pun bapa cuba kebas”

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Seorang wanita mengalami kemurungan sebaik sahaja mengetahui dirinya adalah anak tidak sah taraf kepada ibu dan bapa kandungnya ketika berusia 29 tahun.

Berusaha sedaya upaya untuk berdamai dengan takdir, wanita bernama Irene itu sekali lagi diuji dengan sikap bapanya yang memandang ringan terhadap hukum agama.

Lebih memburukkan keadaan, bapanya itu tidak berhenti mengungkit jasanya membesarkan anak meskipun lelaki terbabit culas menunaikan tanggungjawab membayar nafkah.

Hampir hilang pertimbangan untuk meneruskan hidup, berikut perkongsian Irene dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebagai anak tidak sah taraf tanpa kehadiran bapa.

“Saya Irene, berumur 29 tahun dan bekerja sebagai cikgu. Saya sebenarnya sedang berada di dalam dilema dan juga kekusutan.

“Sudahlah nak pura-pura jadi wali, duit hantaran kahwin aku pun bapa cuba kebas”

Tidak tahulah hendak luahkan di mana tanpa mengaibkan ibu dan bapa. Saya telah bertunang pada September lepas dan satu rahsia terbesar terbongkar selepas majlis berlangsung.

“Saya rupanya seorang anak tidak sah taraf. Ya, rasa amat sedih dan kecewa. Semasa menaip ini pun saya sedang menangis. Saya mencuba untuk berdamai dan menerima ketentuan dari Tuhan. Tetapi saya masih gagal. Selepas mengetahui hal tersebut, saya mengalami kemurungan dalam tempoh seminggu lebih.

“Saya tidak dapat tersenyum. Pagi sehingga malam, saya menangis. Saya cuba memaksa untuk makan dan sering terkejut di waktu tidur. Saya turut mempersoalkan Tuhan, mengapa saya? Ibu dan bapa bercerai pada usia saya 14 tahun. Tiba-tiba sekarang, status saya bertukar jadi anak tidak sah taraf.

“Pada waktu itu, saya merasa baik mati sahaja. Saya juga memahami orang-orang yang nak menggugurkan anak. Mungkin ada baiknya. Kerana jika dilahirkan, hanya akan menyusahkan anak tersebut (maaf saya pernah berfikiran begini). Tetapi saya bersyukurlah kemurungan itu berlaku hanya dalam seminggu lebih.

“Tunang amat memahami dan juga memujuk saya untuk tidak memikirkan hal tersebut. Kerana katanya, semua itu bukan salah saya. Ya, ibu dan bapa bercerai bukan salah saya. Status anak tidak sah taraf ini juga bukan salah saya. Tetapi kenapa saya pula yang perlu menanggung beban berat seperti ini?

“Saya bertanyakan hal ini sendiri kepada bapa. Namun, tidak sedikit pun dia rasa bersalah atau meminta maaf. Sedangkan, saya yang terpaksa menanggung status anak tidak sah taraf di sepanjang hidup. Dia menyuruh saya menerima takdir dan beranggapan ibu tidak perlu mengungkit perkara ini.

“Bapa juga mencadangkan untuk dia berpura-pura menjadi wali semasa akad agar bakal suami dan keluarganya tidak mengetahui perkara ini. Saya tidak setuju. Kerana bagi saya, lelaki yang pilih sebagai suami berhak tahu. Mereka tidak bodoh sehingga tidak dapat membezakan akad ijab qabul berwalikan bapa pengantin atau tidak.

“Disebabkan hal ini, kami bergaduh besar. Bapa juga tidak bersetuju sekiranya majlis dan wang hantaran diurus oleh ibu. Saya sudah tiga kali berbincang secara baik dengan dia supaya mengalah sahaja. Biarlah ibu yang mengurus wang hantaran saya. Tetapi bapa tak dapat terima dan mengungkit hal perceraian mereka.

“Padahal, penceraian terjadi kerana kesilapannya sendiri. Sehingga ke hari ini masih ingat bagaimana saya sampai merayu dikaki bapa supaya jangan menceraikan ibu. Selepas pergaduhan besar itu, bapa sekat (block) dan buang saya dari semua kumpulan sembang keluarga di aplikasi atas talian.

“Adik saya beritahu, isteri bapa juga meroyan di dalam kumpulan itu mengungkit apa jasa kami kepada bapa. Mungkin dia lupa yang bapa juga culas menjalankan tanggungjawab. Tetapi, berharap kami membalas jasa. Selepas kejadian tersebut, saya tidak pernah menyapanya lagi setiap kami berselisihan.

“Bapa bekerja sebagai pekerja am ditempat saya bekerja. Jadinya, kami ada terserempak. Saya masih tidak dapat berdamai dengan bapa kerana terlalu sedih dan kecewa dengan sikapnya. Untuk pengetahuan semua, saya sudah sering meminta maaf setiap kali melakukan bersalah atau menjawab cakap.

“Tetapi untuk kali ini, bibir saya seolah-olah terkunci. Bila melihat bapa, saya tidak mampu berkata apa pun. Saya tidak dapat mengeluarkan satu kata pun, kata maaf jauh sekali. Saya sudah penat bermain dengan drama air mata. Sejak dari sekolah sehinggalah kini, sayalah yang sering memohon ampun dan maaf.

“Saya juga selalu mengalah walaupun tidak melakukan kesilapan memandangkan dia adalah orang tua kandung. Orang sekeliling menasihati saya untuk berdamai dengan bapa. Tarikh nikah juga semakin hampir, saya berkahwin pada hujung bulan 11. Tetapi ketika itu, saya masih tidak mampu berbaik dengan bapa.

“Saya mahu berdamai, tetapi terlalu tawar hati. Tidak mampu mengungkap apa-apa perkataan untuk bapa. Orang tidak pernah tahu apa kesakitan yang saya sudah tanggung selepas ibu dan bapa bercerai. Mereka juga tak pernah tahu apa yang saya korbankan untuk bertahan hidup sehingga kini.

“Dalam perjalanan hidup, saya hanya bertahan seorang diri. Bapa sibuk dengan kehidupan baru, ibu pula sibuk membawa hati yang lara. Masa saya belajar selama empat tahun di universiti, bapa pernah bagi duit sekali sahaja di awal semester satu. Tak silap saya, RM100. Selepas itu, satu sen pun bapa tak pernah hulur.

“Syukur saya masih ada ibu. Selepas mereka bercerai, saya pernah tinggal bersama bapa selama dua tahun. Tetapi pada tahun ketiga, saya lari daripada rumah kerana mak tiri mendera emosi. Dia selalu marah, menengking dan menghina. Paling tak tahan, dia dan bapa selalu sebut. Kalau tak suka, lari sahaja dari rumah.

“Bukan itu sahaja. Kalau ada buat salah, mak tiri tak beri belanja sekolah kerana wang gaji bapa dia yang uruskan. Padahal di rumah, kami yang mengemas dan memasak. Bapa tahu sahaja perkara itu, tetapi dia tidak pernah nak pertahankan saya atau adik-beradik. Akhirnya, saya lari meninggalkan mereka.

“Maafkan kakak adik-adik. Kakak terlalu pentingkan diri. Jika nak diceritakan, terlalu banyak kejadian yang pahit berkaitan bapa. Tetapi saya telan dan maafkan sehingga hubungan kami masih baik sampailah selepas majlis pertunangan itu berlangsung. Kami bergaduh dan dia menyalahkan tunang saya.

“Bapa beranggapan tunang yang hasut saya. Sebabnya, dahulu saya yang selalu mengalah. Tetapi tidak kali ini. Kasihan tunang, sudahlah masa nak bertunang banyak drama berlaku dari pihak keluarga saya. Pilih tempat bertunang pun gaduh. Bapa nak buat di rumah dia, ibu tak mahu kerana adik sudah bertunang di situ.

“Akhirnya saya buat keputusan untuk sewa ruangan kedai sahaja. Selepas bertunang pun masih ada drama serupa. Bapa yang paling marah sebab tak dapat pegang duit hantaran dan uruskan majlis. Saya juga tidak bersetuju dengan cadangan bapa yang mahu berpura-pura menjadi wali.

“Jadi, saya cuba mengambil jalan untuk pekakkan telinga dari kata-kata orang yang kononnya saya anak yang jahat dan tidak mengenang jasa. Tetapi jauh di sudut hati saya, tetap rasa bersalah. Alhamdulillah, majlis saya berjalan dengan sangat lancar. Saya berwalikan wali raja atas arahan mahkamah.

“Namun, hubungan saya dan bapa masih lagi keruh. Apabila melihat dia, saya tidak mampu tersenyum apatah lagi menyapa. Bapa pula langsung tidak hadir pada majlis perkahwinan saya. Ini menambahkan lagi rasa kecewa saya padanya. Padahal suami sudah maklumkan kepada dia, kami akan berkahwin pada sekian hari bulan.

“Namun dia hanya bluetick (membaca) sahaja. Sebelum itu, suami pernah ajak bapa berjumpa untuk berbincang. Waktu itu pun bapa hanya bluetick sahaja. Kalau terjadi pada kamu semua, apakah tindakan anda? Tolong doakan saya dipermudah urusan dan rezeki ya.” Pinta Irene (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Aku cukup menyesal terima pertolongan kakak ipar, tak pasal kena hadap benda ni