Seorang wanita terkejut besar apabila mendapati suaminya mengaku sebagai duda melalui sebuah aplikasi mencari jodoh.
Penemuan itu terjadi selepas dia menemui perbualan antara suaminya dan seorang pengguna lain di aplikasi tersebut.
Dalam tangkap layar perbualan yang dikongsikan di media sosial, si suami memperkenalkan dirinya sebagai duda dengan tiga anak.
“Suami saya mengaku dengan seorang wanita lain yang dia duda sudah cerai hidup. Jadi apa status saya sekarang… masih isteri atau sah cerai?” keluh wanita itu, yang masih tergamam dengan apa yang berlaku.
Menerusi mesej berkenaan, wanita yang dikenali sebagai kenalan suaminya turut memperkenalkan dirinya sebagai seorang ibu tunggal dengan seorang anak berusia empat tahun.
“Saya single mom. Arwah suami meninggal dunia akibat kanser tahun 2022. Anak saya umur empat tahun. Saya jarang guna aplikasi ini sebab kawan yang buatkan akaun. Susah nak jumpa yang jujur,” tulis wanita itu dalam mesejnya kepada si suami.
Luahan Raih Simpati Netizen
Pendedahan itu mencetuskan perhatian ramai di media sosial. Kebanyakan netizen bersimpati dengan wanita tersebut dan menyarankan agar dia mengambil tindakan segera.
“Saya cadangkan puan rujuk perkara ini ke Mahkamah Syariah. Dari perbualan itu, suami puan nampaknya sedar dengan apa yang ditulis, terutama penggunaan istilah ‘cerai hidup’,” komen seorang pengguna.
Menurut portal Mufti Wilayah Persekutuan, lafaz talak terbahagi kepada dua jenis, iaitu sorih (jelas) dan kinayah (berkias). Lafaz kinayah seperti yang digunakan suami dalam perbualan tersebut bergantung kepada niat individu ketika melafazkannya.
Oleh itu, pihak berautoriti perlu memastikan niat sebenar suami sebelum menentukan status perkahwinan.
Krisis ini sekali lagi mengingatkan bahawa komunikasi yang tidak jujur dalam perkahwinan boleh membawa kesan yang mendalam kepada pasangan dan keluarga.
BACA: Jalan utama Machang terputus akibat banjir, netizen sindir ‘bahana menfitnah la ni