Kadang-kadang tak semua memahami bahawa anak itu adalah salah satu bentuk rezeki, tak semua dikurniakan anak di awal perkahwinan.
Seharusnya yang lebih tua ini memahami betapa sukarnya untuk mendapatkan cahaya mata tapi masih nak beri tekanan buat anak-anak.
Seorang wanita yang baru setahun umur perkahwinan sudah lelah dengan sikap mak cik yang sering persoal mengenai cahaya mata.
Saya dan suami dah setahun lebih berkahwin tapi Allah uji kami dengan tak lagi dikurniakan zuriat.
Saya tahu, ramai kat luar sana bertahun tahun kawin baru ada rezeki anak. Cuma saya rasa saya tak kuat nak hadap soalan daripada orang luar.
Setiap kali orang tanya pasal anak, saya akan menangis. Suami pun dah faham sangat. Saudara sebelah suami selalu tanya, bila nak ada anak.
Mak ayah mentua okay sahaja tapi mak-mak saudara yang sibuk tanya.
Semalam saya cakap kat suami, kahwinlah lagi satu dan saya suruh suami kahwin dengan kawan saya tapi suami tak nak. Suami cakap dia tak minat berpoligami.
Saya cakap kat suami, kalau abang tak minat poligami, abang boleh ganti isteri baru. Suami saya marahkan saya. Selama kami kawin, tak pernah dia marah saya.
Kalau saya merajuk atau dia merajuk sekalipun, bila tidur dia akan pegang saya. Tapi semalam dia tidur membelakangi saya lepas saya suruh dia ganti isteri baru.
Marah betul dia. Saya pujuk pun suami tak layan sampai saya cium kaki suami minta maaf tapi suami elak. Suami tak suka saya cakap macam tu. Saya tahu saya salah.
Sebelum tidur, suami cakap dia dah maafkan saya tapi hati dia terluka bila saya cakap macam tu. Saya pun tak berniat nak cakap macam tu. Saya sayang suami saya.
Cuma saya tertekan dengan orang sekeliling yang tak habis habis tanya pasal anak. Bukan kami tak jumpa doktor, semua dah.
Makan jamu, makan ubat, jumpa doktor, diet, mengurut. Semua saya dah buat. Duit beribu dah habis untuk ikhtiar.
Saya harap orang doakan saya dapat anak cepat agar mulut orang lain ni cepat tertutup, fahamilah betapa tertekan seorang wanita yang tengah berusaha mendapatkan zuriat sendiri.
Baca juga: Atlet angkat berat ‘kantoi’ sedut bahan terlarang, rupanya ramai taktahu fungsinya