’Status quo’ adalah penyelesaian PRK Batu Sapi tanpa perlu mengundi

’Status quo’ adalah penyelesaian PRK Batu Sapi tanpa perlu mengundi

Pengundi di kawasan Batu Sapi berharap pilihan raya kecil dapat dielakkan, selepas hampir semua parti politik mengumumkan hasrat tidak bertanding dalam PRK kerusi Parlimen itu.

Walaupun terdapat laporan berita berhubung kemungkinan darurat diisytiharkan akibat Covid-19 yang akan menyebabkan penggantungan semua aktiviti politik, termasuk PRK, pengundi di Batu Sapi akur PRK bakal diadakan.

Dengan berpuluh kes Covid-19 yang dilaporkan di kawasan pantai timur setiap hari, pengundi Batu Sapi bimbang PRK itu akan menyebabkan peningkatan lebih tinggi jangkitan seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri di Sabah pada 26 Sept lalu.

“Saya berharap tiada pencabar kepada parti yang memegang kerusi itu sekarang pada hari penamaan calon. Secara peribadi, saya tidak melihat bagaimana sebuah kerusi mampu memberi perbezaan signifikan kepada mana-mana parti,” kata Ketua Kampung Bokara, Sukasdi Saito.

Seperti penduduk kampung lain di kerusi Parlimen Batu Sapi, beliau secara peribadi mengenali sesetengah penduduk di kawasan itu yang dijangkiti Covid-19 dan pesakit yang meninggal dunia akibat virus itu.

“Kami berharap pihak berkuasa akan menangguhkan PRK. Tetapi, jika itu tidak mungkin, maka semua orang perlu sepakat mengembalikan kerusi itu kepada parti yang menyandangnya demi keselamatan rakyat Batu Sapi.”

Ketua Kampung Air, Jaddil Aidil yakin lebih daripada seorang calon akan tampil menyerahkan borang pencalonannya pada hari penamaan calon.

“Ada cakap-cakap mengenai seorang calon harapan dari parti tertentu yang bergerak di sekitar kampung di daerah ini.

“Jika PRK itu perlu diadakan, maka pihak berkuasa tidak patut membenarkan sesiapa pun dari daerah atau negeri lain datang ke sini untuk berkempen. Kita perlu dapat pengajaran daripada PRN.”

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Nov ini sebagai hari penamaan calon dan 5 Dis sebagai hari pengundian bagi PRK Batu Sapi susulan kematian penyandang dari Warisan, Liew Vui Keong pada 2 Okt lalu.

BN, PBS, Pakatan Harapan Sabah dan Parti Cinta Sabah mengumumkan tidak akan bertanding PRK itu.

Bagaimanapun, beberapa parti lain, termasuk Perikatan Nasional tidak menyatakan jika mereka berhasrat bertanding di kerusi Parlimen itu.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/24/pengundi-harap-prk-batu-sapi-dapat-dielakkan/

COMMENTS