Staf RISDA Kemaman mengaku salah buat tuntutan palsu bayaran sewa hotel

Staf RISDA Kemaman mengaku salah buat tuntutan palsu bayaran sewa hotel

Seramai 11 kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana membuat tuntutan palsu membabitkan bayaran sewa hotel dan perjalanan bernilai RM2,254. 65 pada 2018.

Semua tertuduh termasuk empat wanita berusia antara 28 hingga 49 tahun yang bertugas di Risda Kemaman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, mereka yang masing-masing berjawatan Gred N11 hingga Gred G32 dan W32 didakwa membuat tuntutan palsu berkait bayaran sewa hotel dan perjalanan dalam negeri serta kesalahan pemalsuan bernilai antara RM20 hingga RM380.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Risda Kemaman pada April 2018.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 seksyen sama.

Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Yasmin Salleh, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Hayat Muhamad.

Sejurus pengakuan bersalah kesemua tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan esok sebagai tarikh untuk jatuh hukum.

Mahkamah juga membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM2,000 hingga RM3,000 dengan seorang penjamin.

Berita penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/593023/11-kakitangan-risda-kemaman-mengaku-salah-buat-tuntutan-palsu-metrotv

COMMENTS