Spekulasi rombakan kabinet bertiup kencang, lebih ramai menteri Umno.
Biarpun tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung masih menjadi teka-teki, namun nampaknya parti politik kini sudah mula membuat persiapan awal.
Malah, gabungan parti politik baik Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) sedang melakukan rundingan antara komponen masing-masing bagi menentukan pembahagian kerusi sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bakal ditandingi mereka pada pilihan raya nanti.
Terdapat juga spekulasi dan khabar angin tersebar mendakwa PH yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) akan membentuk jajaran baharu dengan Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan.
Jadi, tidak hairanlah sekiranya Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah bergerak ke sana-sini untuk bertemu ketua parti lain termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membentuk jajaran politik baharu dalam usaha menewaskan BN.
Apa pun spekulasi, namun yang paling penting kini, sepatutnya semua parti politik tidak kira BN, PN atau PH mengenal pasti calon yang benar-benar sesuai, bebas daripada sebarang salah laku dan rasuah, bahkan disukai rakyat serta mempunyai kredibiliti untuk diangkat sebagai calon.
Parti politik juga perlu memastikan semua calon bertanding pada PRU15 nanti sihat tubuh badan dan tidak mempunyai penyakit kronik agar tidak timbul masalah lain di kemudian hari.
Selain itu, parti politik juga perlu memikirkan manifesto yang terbaik dan mampu menarik hati pengundi termasuk soal kos sara hidup rakyat, masalah kemerosotan ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan. Paling penting, manifesto tersebut mestilah realistik dan mampu dilaksanakan, bukan sekadar janji.
Pelbagai spekulasi
Di sebalik desas-desus PRU15, timbul pula isu kemungkinan berlaku rombakan kabinet besar-besaran dalam masa terdekat bagi mengendur tekanan terutama daripada UMNO supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Difahamkan, rombakan kabinet berkenaan dijangka menyaksikan lebih ramai pemimpin UMNO dilantik sebagai Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri bakal diisi oleh wakil Bersatu. Namun, itu sekadar spekulasi.
Bagi penulis, rombakan kabinet tampak lebih relevan dan realistik berbanding mengadakan PRU15 di saat rakyat tengah bergelut untuk meneruskan kehidupan kesan daripada pandemik Covid-19, kemerosotan ekonomi dan kenaikan harga barang yang melampau pada ketika ini.
Tambahan pula, tiada siapa dapat memberikan jaminan bahawa BN, PN dan PH mampu memperoleh majoriti mudah atau lebih 112 kerusi Parlimen, sekali gus membentuk kerajaan Persekutuan yang kukuh serta tidak mampu digugat pada PRU15.
Ada penganalisis politik meramalkan bahawa BN/UMNO hanya mampu menang kira-kira 90 kerusi Parlimen sahaja jika mereka bertanding secara solo tanpa membentuk kerjasama dengan Pas atau parti lain dalam PRU15.
BN juga dijangka tidak akan berjaya merampas kembali Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu jika mereka tidak bergabung dengan mana-mana parti lain.
Justeru, mahu atau tidak pemimpin tertinggi UMNO dan BN perlu memikirkan kaedah dan jajaran politik baharu sama ada bersama PN atau PH untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang lebih kukuh jika mereka mahu menang majoriti mudah dalam PRU15 nanti.
Bagaimanapun, apa yang penting sekarang ialah kerajaan pimpinan Ismail Sabri perlu ‘memerah otak’ untuk memikirkan soal tarikh sesuai bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen, sekali gus memberi laluan kepada PRU15.
Ibarat sekarang bola berada di kaki Perdana Menteri, terpulanglah kepada beliau sama ada mahu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen atau menunggu sehingga tempoh Dewan Rakyat matang pada tahun depan.
Sama-samalah kita tunggu tarikh keramat PRU15.