Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini memberikan amaran tegas kepada semua pasukan Liga Malaysia
agar tidak mempromosikan penstriman haram untuk menyaksikan perlawanan Liga Malaysia 2024-2025.
Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) telah menjadi pasukan pertama yang dikenakan tindakan oleh MFL
kerana didapati bersalah menggalakkan penstriman haram kepada penyokong mereka.
“Kelantan Darul Naim FC telah dikenakan denda sebanyak RM 5,000 serta amaran pertama setelah mengeluarkan kenyataan media
yang mempromosikan penstriman langsung (bukan penyiar rasmi) di laman media sosial rasmi kelab pada 27 September 2024.
“Ini jelas melanggar Peraturan Media seperti yang termaktub dalam Manual Liga Malaysia 2024.
“Jika kesalahan yang sama berulang, hukuman yang lebih berat akan dikenakan kepada mana-mana kelab yang melanggar peraturan tersebut,” menurut kenyataan rasmi MFL.
Bagi melindungi hak penyiaran rasmi dan privasi perlawanan secara langsung, penyokong dilarang menyaksikan sebarang perlawanan secara haram di mana-mana platform media sosial atau laman web tidak rasmi, sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 43AA Akta Hak Cipta.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Giorgio Pompili Rossi, Astro sebagai penyiar rasmi dan RTM sebagai rakan penyiar rasmi sentiasa berusaha untuk memberikan siaran perlawanan serta liputan yang lebih menyeluruh bagi Liga Malaysia musim ini demi kepuasan peminat bola sepak tempatan.
Oleh itu, aktiviti mempromosikan atau menggalakkan tontonan di laman web haram tidak sepatutnya berlaku, dan diharapkan penyokong Liga Malaysia menunjukkan sokongan kepada kelab kegemaran masing-masing dengan menonton perlawanan secara langsung di platform yang telah disediakan.
“Kami di pihak MFL sangat menjaga privasi kandungan dan tontonan aksi Liga Malaysia. Kami juga ingin melindungi hak penyiar rasmi, iaitu Astro dan RTM, yang sentiasa berusaha memberikan liputan terbaik kepada penyokong.
“Kami juga ingin melindungi nilai komersial Liga Malaysia, di mana hak penyiaran adalah antara sumber pendapatan utama kepada kelab-kelab.
“Justeru, apabila ada yang masih mempromosikan siaran langsung secara haram, MFL sememangnya berasa kecewa dan berharap situasi sebegini tidak lagi berlaku.
“Harapan saya adalah penyokong tidak sesekali menonton sebarang perlawanan secara haram, tetapi menonton siaran yang telah disediakan iaitu Astro dan RTM,” jelasnya.
BACA: Patutlah Iron dome Israel tak mampu tepis serangan, rupanya ini peluru yang Iran guna