Individu yang lahir pada tahun 1985 dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan
sebagai persediaan memasuki fasa baharu kehidupan pada tahun hadapan.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), mereka yang lahir pada tahun tersebut akan menyertai “kelab 40-an,”
iaitu peringkat usia di mana kesan gaya hidup sejak remaja mula dirasai.
“Sebelum terlambat, kami cadangkan anda lakukan beberapa pemeriksaan asas.
Yang pertama, periksa tekanan darah untuk pastikan tekanan hidup tidak menaikkan tekanan darah anda,” jelas PHM dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini.
PHM turut menyarankan ujian gula dalam darah. “Sudah tiba masanya berhenti memberi alasan dan ucapkan selamat tinggal kepada minuman manis yang sering menjadi kegemaran,” tambah kenyataan itu.
Pemeriksaan kesihatan ketiga yang dicadangkan adalah ujian paras kolesterol.
“Kalau selama ini nasi kandar menjadi rakan sejati, mungkin sekarang masa yang tepat untuk kurangkan.
Jangan sampai jantung ‘merajuk’ dan buat drama,” kata PHM.
Menurut hantaran tersebut, usia 40 mungkin hanya sekadar angka, tetapi ia menjadi penentu sama ada anda dapat menikmati kehidupan di usia emas atau kerap berulang-alik ke hospital. “Pilihan di tangan anda,” ujar PHM.
BACA: Isteri asyik sakit sampai masuk hospital, dia tak tahu ke aku ada match badminton dengan kawan-kawan