Siapa sangka, kucing jalanan dari Malaysia kini dinobatkan sebagai juara dunia
selepas menewaskan ribuan pesaing dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa di Oslo, Norway, pada hari Ahad lalu.
Kucing betina yang dikenali sebagai Baby itu merupakan milik pasangan suami isteri, Shaharudin Shuib dan Rooaida Mohd Darus.
Menurut laporan Buletin TV3, Baby dipilih sebagai pemenang selepas berjaya menambat hati para juri dengan kejinakan, ketenangan,
serta sifat manja ketika penghakiman dibuat dalam pertunjukan anjuran Persekutuan Kucing Antarabangsa (Fife) tersebut.
Malah, Baby bersaing bersama seekor lagi kucing jantan milik pasangan itu, iaitu Miko, di pentas akhir bagi penentuan juara mutlak.
Sebanyak 1,500 ekor kucing menyertai pertunjukan itu dan Malaysia diwakili oleh 9 ekor kucing yang terdiri daripada empat kucing baka British Short Hair, empat kucing jalanan, dan seekor kucing Bengal hasil inisiatif Kelab Kucing Malaysia (KKM).
Menurut Rooaida, kucingnya itu sudah mendapat pendedahan awal untuk menyertai pertunjukan tersebut dengan memberi ruang kepada Baby berada di persekitaran yang terbuka.
“Saya dan suami kerap membawa Baby menyertai pertunjukan kucing dalam negara bagi membiasakan dia dengan khalayak ramai. Ini dapat memupuk watak jinak dan manja,” katanya yang dipetik dalam Buletin TV3.
“Baby hanyalah kucing baka biasa, kami ambil dia dari jalanan dan kemudian dipelihara dengan baik sehingga kini,” tambahnya.
BACA: KFC tak sangka ini punca jualan ayam goreng di seluruh dunia merudum