Shuib mengaku pernah main judi, menang RM68000, Shuk saksi kehebatan Shuib berjudi

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Pelawak Shuib mendedahkan bahawa dia pernah terlibat dalam aktiviti perjudian hingga mengalami ketagihan pada suatu ketika dahulu.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, berkata dia pernah dikepung oleh beberapa gangster selepas memenangi wang taruhan sebanyak RM68,000.

Menurut Shuib, ketika itu dia bersama rakan pelawak, Shuk Sahar, berada di Ipoh untuk penggambaran sebuah filem sekitar tahun 2013.

“Pada masa itu, aku bermain dan menang sebanyak RM68,000. Setelah menang, tiba-tiba tuan kedai seolah-olah enggan memberi wang tersebut, seolah dia anggap aku menipu.

“Dia kemudian menghubungi beberapa gangster untuk datang ke kedai, ada sekitar enam orang.

Shuib mengaku pernah main judi, kalah RM68000, Shuk saksi kehebatan Shuib berjudi

Setibanya mereka, terus mereka panggil aku ke bilik belakang dan tanya macam-macam perkara.

“Bila aku dengar cakap macam itu, aku terus cakap, ‘Kalau abang cakap macam itu, maksudnya abang memang tak nak bagi duit ini. Tak apalah, saya gerak,'” katanya.

Shuib berkongsi cerita ini menerusi sesi podcast Dol’s Podcast yang dikendalikannya bersama Shuk Sahar dan Fizie.

Sejak kejadian itu, Shuib mengakui dia bertekad untuk meninggalkan tabiat bermain judi.

“Alhamdulillah, aku cakap pada diri sendiri bahawa ini adalah kali terakhir aku main judi dan memang aku tak main lagi lepas itu,” ujarnya.

Menurut Shuib, ketagihan judi pernah menyebabkan dia mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

“Dulu, aku tak pernah berkira membazirkan wang untuk memuaskan ketagihan judi aku. Banyak duit aku habiskan dan aku pernah bertaruh RM150 setiap pusingan.

“Dalam seminit, permainan itu boleh dimainkan sebanyak tiga atau empat spin. Bayangkan berapa ratus ringgit boleh dihabiskan dalam satu minit?

“Bila aku main dulu, banyak sangat kerugian yang aku alami sampai tak terkira. Aku pun tak ada duit, sampai kering langsung,” ujarnya.

Dia bersyukur kerana kejadian tersebut menyedarkannya untuk meninggalkan perbuatan berdosa itu.

Jelasnya, sebaik sahaja berhenti daripada berjudi, hidupnya menjadi lebih tenang dan dia mula memiliki wang simpanan.

“Perbezaan yang aku rasakan sangat besar, Allah nak bagi… Kadang-kadang kau rasa puas bila berjudi, bila menang rasa gempak.

“Tapi kehidupan tetap susah. Bila aku berhenti, bukan sahaja aku boleh simpan duit, malah wang pun makin banyak,” ujarnya.

BACA: “Tak tahan dengan sikap suami, esoknya aku pakai baju kerja dan curi-curi masukkan baju dalam beg, aku drive ke mahkamah syariah dan balai polis”