Pelawak dan usahawan Shuib tampil memberikan penjelasan tentang keadaan tangan anak bongsunya, Ayash Affan, yang dilihat tidak normal.
Dalam sesi siaran langsung di TikTok, Shuib, 40, mendedahkan tangan Ayash kurang berfungsi kerana dilahirkan tidak cukup bulan oleh arwah isterinya, penyanyi Siti Sarah.
Ayash juga mengalami masalah pernafasan sehingga memerlukan bantuan pernafasan, yang seterusnya menjejaskan perkembangan otak dan fizikalnya.
“Ramai bertanya tentang tangan kanan Ayash. Dia dilahirkan tak cukup bulan dan dianggap sebagai bayi ajaib.
Doktor yang sambut Ayash beritahu dia tidak bernafas selama lapan saat.
Mereka terpaksa memasukkan tiub terus ke paru-paru untuk membantunya bernafas.
Disebabkan itu, oksigen lambat sampai ke otak, menyebabkan kesan calar di belakang otak. Sebelah tangannya pada awalnya kurang berfungsi,” jelas Shuib.
Perkembangan Positif Ayash
Namun, Shuib bersyukur kerana Ayash kini menunjukkan perkembangan yang baik, dan tangan kanannya semakin banyak berfungsi.
“Alhamdulillah, sekarang tangan kanannya sudah banyak digunakan. Dahulu, tangannya sentiasa menggenggam, tetapi kini sudah mula membuka sedikit.
Masa dia berusia dua tahun, ketika berjalan pun badannya agak senget ke kanan. Walaupun lahir tak cukup bulan, otaknya sangat bijak. Dia anak yang baik dan tidak menyusahkan.”
Kisah Kelahiran Ayash
Untuk makluman, Allahyarham Siti Sarah menjalani pembedahan bagi melahirkan Ayash selepas ditidurkan kerana tahap oksigen rendah akibat jangkitan Covid-19. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos 2021.
Shuib dan Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin, dan Ayash Affan. Shuib kemudian berkahwin dengan usahawan Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah pada 23 Jun 2023.
BACA: Suka buka cerita lama Atu, Sharif mohon maaf kepada adiknya