Setiap negara ada kod nombor telefon, siapa yang tentukan sebenarnya?

Oleh DAHLIA MARZUKI

Perasan atau tidak, semua nombor telefon peribadi di Malaysia bermula dengan (+60).

Tidak kira sama ada nombor peribadi atau nombor pejabat, kod ini seragam di seluruh negara.

Sama juga dengan nombor telefon dari negara lain, pasti dimulai dengan sekurang-kurangnya dua nombor yang sama. Tetapi, kod ini berbeza-beza mengikut negara asalnya.

Contohnya, (+65) untuk Singapura, (+62) untuk Indonesia, dan (+66) untuk Thailand.

Sekiranya diperhatikan kod-kod ini, pasti ada yang tertanya-tanya, dari mana asalnya nombor-nombor ini dan siapa yang menentukannya?

Setiap negara ada kod nombor telefon, siapa yang tentukan sebenarnya?

Percayalah atau tidak, sebenarnya ada yang berpendapat bahawa nombor ini diberikan secara rawak dan setiap negara menentukan kod nombor masing-masing.

Tetapi, sangkaan tersebut ternyata meleset, kerana ada sebuah organisasi yang menyusun atur kod panggilan negara secara sistematik.

Organisasi itu adalah Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), sebuah agensi antarabangsa di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Secara keseluruhan, ITU bertanggungjawab dalam memudahkan sambungan antarabangsa dalam rangkaian komunikasi.

Badan ini juga mengawal spektrum radio global dan orbit satelit, membangunkan piawaian teknikal yang memastikan rangkaian dan teknologi saling bersambung dengan lancar. ITU juga berusaha untuk meningkatkan akses kepada ICT kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan di seluruh dunia.

Cara kod panggilan negara ditentukan menerusi pembahagian kawasan yang dilakukan oleh ITU. Bagi kod panggilan negara, ITU telah memisahkan dunia kepada sembilan bahagian.

Bahagian pertama merangkumi negara-negara yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Nombor Amerika Utara (NANP).

Semua negara NANP mempunyai angka satu (+1) pada awalan seperti Kanada, Amerika Syarikat, Barbados, dan Jamaica.

Bahagian kedua melibatkan kod panggilan negara bagi negara-negara di benua Afrika.

Sebahagian negara memiliki dua digit pada awal kod panggilan, manakala ada sesetengah negara yang menggunakan tiga digit. Ini dapat dilihat menerusi contoh: Senegal (+221), Kamerun (+237), dan Mesir (+20).

Bagi bahagian yang menggunakan digit tiga (3) dan empat (4) sebagai awalan, kebanyakan negara tersebut adalah negara-negara Eropah.

Seterusnya, bahagian kelima yang menggunakan angka lima (5) sebagai awalan adalah negara-negara di Amerika Selatan serta beberapa negara dari Amerika Utara yang bukan sebahagian daripada NANP.

Kita dapat melihat corak yang sama bagi beberapa bahagian lain seperti, angka enam (6) untuk negara-negara di Asia Tenggara dan Oceania. Angka tujuh (7) untuk bekas negara Soviet Union, angka lapan (8) untuk negara-negara di Asia Timur, dan akhir sekali, angka sembilan (9) untuk negara-negara di Asia Selatan dan Timur Tengah.

Jadi, dapat disimpulkan bahawa kod awalan setiap negara ditentukan mengikut lokasi geografi negara tersebut. Misalnya, jika berada di Asia Tenggara, kod yang diberikan adalah +6.

BACA: “10 tahun perkahwinan, segalanya berakhir, aku dibuang begitu saja, selama aku sendirian, bekas madu yang banyak bantu aku”