Setiap ADUN PN Johor dapat RM300 ribu dari kerajaan?

Setiap ADUN PN Johor dapat RM300 ribu dari kerajaan?

Saya mendapat maklumat daripada sumber yang sahih – pada awal bulan ini, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memihak kerajaan negeri Johor telah diberi peruntukan khas oleh kerajaan pusat kira-kira berjumlah RM300,000 dan akan dibayar melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).

Saya merasakan amalan seperti ini agak luar biasa dan janggal kerana sepanjang masa menjadi ADUN dan Exco Kerajaan Negeri, belum pernah lagi saya menerima sebarang peruntukan secara terus daripada kerajaan pusat. Kebiasaanya ICU hanya akan menyalurkan peruntukan kepada ahli parlimen atau agensi kerajaan berkaitan sahaja.

Kerana mengikut amalan sebelum ini, peruntukan ADUN sepatutnya diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), bukan Jabatan Perdana Menteri. Manakala proses penyaluran kepada rakyat dan pemantauan pula akan dilaksanakan oleh Pejabat Pegawai Kewangan Negeri (PKN) dan Pejabat Daerah, bukan ICU.

Bermain di fikiran saya, adakah ADUN negeri lain sebagai contoh di Pahang atau Melaka juga terima peruntukan yang serupa, atau hanya di Johor?

Sebenarnya tidak mustahil hal yang seperti ini boleh berlaku, kerana di tengah-tengah pergolakan antara BERSATU-UMNO di Johor, tampak kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan mahupun negeri begitu terdesak dan akhirnya terpaksa melakukan sesuatu bagi mengekalkan sokongan sedia.

Pada hemat saya, amatlah tidak wajar ‘peruntukan tambahan’ (29 @ RM300,000 = RM8,700,000) daripada Jabatan Perdana Menteri disalurkan kepada ADUN PN kerana kerajaan negeri telah pun menyediakan peruntukan yang lebih kurang sama dari segi manfaat dan jumlah Ringgit. Sewajarnya dalam keadaan begini, peruntukan sedia ada disalurkan kepada Kementerian Kesihatan bagi melawan wabak Covid-19, kepada golongan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kepada pejuang barisan hadapan seperti doktor, pegawai kesihatan dan polis, kerana itu lebih bermakna.

Sekiranya tidak benar, elok kiranya YAB Menteri Besar Johor menafikan dengan kadar segera. Mudah-mudahan persoalan ini terjawab.

Sekian, terima kasih.

YB JIMMY PUAH WEE TSE
Ahli Dewan Undangan Negeri Johor-N51 Bukit Batu,
Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor

8 Mei 2020, Jumaat

Sumber :

COMMENTS