Sertai Jawatankuasa khas darurat bermakna akui keabsahan Muhyiddin sebagai PM – Mahfuz

Sertai Jawatankuasa khas darurat bermakna akui keabsahan Muhyiddin sebagai PM – Mahfuz

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, menggesa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang tidak menyertai jawatankuasa khas bebas yang akan ditubuhkan berhubung pelaksanaan darurat.

Beliau berkata, penolakan itu perlu kerana proklomasi darurat diumumkan seorang perdana menteri dan kerajaan yang sudah hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Katanya, jika pembangkang menyertai jawatankuasa itu, ia bermakna gabungan berkenaan memperakui keabsahan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Tiada keperluan darurat dicadangkan oleh perdana menteri dan jemaah menteri yang sudah hilang bilangan bilangan majoriti MP yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Perdana menteri dan kerajaan PN adalah kerajaan yang merampas mandat rakyat dan kini di waktu keputusan untuk darurat dibuat oleh jemaah menteri kerajaan PN sudah hilang majoriti hanya 110 sahaja.

“Sehari kemudian bilangan menurun pada 109, ini jelas PM dan jemaah menteri yang ada ini pada moralnya tidak wujud dan tidak layak membuat keputusan dan mempersembahkan pada Agong, jika MP pembangkang sertai bermakna memperakui keabsahan PM dan PN,” katanya dalam kenyataan.

Mahfuz turut mendesak Muhyiddin meletak jawatan bagi membolehkan Agong melantik calon baru yang mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail, hari ini mengesahkan menerima surat undangan untuk menyertai jawatankuasa itu.

Katanya, surat undangan itu diterima Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, semalam.

Pada pengumuman khas darurat Selasa lalu Muhyiddin berkata, bagi menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah jawatankuasa khas bebas akan ditubuhkan.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bawah suatu Ordinan untuk menasihati Agong sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa proklamasi darurat atau menamatkan proklamasi lebih awal dari tarikh ditetapkan.- FMT