Sepatutnya kerajaan yang pertahankan Tabung Haji bukan menyerang- Mujahid

Sepatutnya kerajaan yang pertahankan Tabung Haji bukan menyerang- Mujahid

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengakui janggal melihat sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat berterusan menyerang Lembaga Tabung Haji (TH).

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, berbanding ketika Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan sebelum ini, beliau tidak hairan apabila wakil rakyat Umno dan Pas sebagai blok pembangkang ketika itu mengkritik pengurusan kewangan TH.

“Saya berada dalam keadaan amat janggal di Parlimen. Sepanjang saya di Parlimen hampir tiga minggu ini, serangan kepada TH itu datang daripada pihak kerajaan.

“Ini agak janggal bagi saya. Seharusnya, saya yang menyerang mereka tetapi sebaliknya saya yang pertahankan TH yang sebelum ini telah melakukan proses pemulihan TH daripada pelbagai penyelewengan yang berlaku sehingga menjejaskan kepentingan 9 juta pendeposit di kalangan orang Islam,” katanya.

Menurut Naib Presiden AMANAH itu, PH selama 22 bulan berusaha untuk memastikan kesinambungan TH agar tidak gulung tikar serta kerajaan tidak dibebankan dengan suntikan yang terlalu besar untuk menyelamatkan institusi kewangan Islam tersebut.

“Tapi bila masuk ke Parlimen kali ini, saya berada di blok pembangkang. Dulu mereka (Umno dan Pas) menyerang sebagai blok pembangkang.

“Bagi saya itu normal. Pembangkang akan mempertikaikan usaha yang dibuat oleh kerajaan. Itu tidak ada apa yang pelik.

“Saya mempertahankan TH atas dasar yang kita (kerajaan) telah tetapkan iaitu Pelan Pemulihan Tabung Haji dengan kata lain projek menyelamatkan TH.

“Tapi saya pelik, saya (sekarang) di blok pembangkang, seharusnya mereka (kerajaan) mempertahankan TH ini dengan nama baiknya untuk sekurang-kurangnya mereka beradab sebagai kerajaan sebab TH berada di bawah agensi kerajaan termasuk Menteri Agama dan Timbalannya,” hujahnya.

Beliau berkata demikian dalam program secara langsung ‘Bicara YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa’ (Siri 4) menerusi saluran Jom Channel di YouTube malam tadi.

Sehubungan itu, Dr Mujahid menyifatkan sikap Umno dan Pas itu dilihat tidak rasional dalam keghairahan mereka menyerang beliau dan PH.

“Begitulah mentaliti mereka seolah-olah macam TH ini terlalu peribadi untuk mereka jadi walaupun mereka sudah ambil alih sepatutnya mereka mempertahankan kepentingan TH supaya tidak diserang fitnah-fitnah ketika mereka menjadi pembangkang dahulu.

“Saya pula sebagai seolah-olah macam kerajaan mempertahankan institusi TH. Itulah kepelikan PN ini khususnya Umno dan Pas yang seperti terkoordinasi untuk menyerang (PH).

“Padahal mereka lupa ketika mereka menyerang TH adalah milik kerajaan.

“Contohnya, kalau ada apa-apa masalah yang mereka pertikai, mereka boleh sahaja panggil TH untuk memberi penjelasan,” katanya lagi dalam slot bertajuk “Pemulihan Tabung Haji Dikhianati Oleh PN?” yang dimoderatorkan Noor Zawawi Yusof itu.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/mujahid-rasa-janggal-pertahan-tabung-haji-tapi-umno-pas-ghairah-serang/

COMMENTS