Assalamualaikum dan salam sejahtera.Bukannya tiada kawan, tapi kalau aku cerita pada kenalan macam buka aib
Jadinya, aku ceritakanlah disini untuk mengambil pendapat macam mana nak ubatkan hati yang tersakiti.
Sedikit pengenalan ringkas, aku Adudu Bulat, bukanlah nama sebenar.
Seorang isteri yang telah berkahwin masuk tahun keempat, mempunyai anak lelaki yang comel sudah berusia dua tahun.
Suami aku kerja biasa. Dari aku kenal dia sampai ke tahun ni dah 3x bertukar kerja yang semuanya biasa saja.
Mulanya awal perkenalan aku seperti tertipu dia kerja Kerajaan. Ya sepantas kilat ayahku yang juga orang kerajaan terima dia sebagai calon menantu.
Sudahnya lepas kami bertunang, baru aku tahu itu hanyalah posisi kontrak. Tapi aku diamkan saja kerana masa tu aku masih belajar di tahun akhir Diploma lanjutan, sepenuh masa. Pada aku tak apalah marilah bersusah bersama.
Keluarganya ok. Terima aku dengan seadanya masa tu. Ayah dia lah paling suka sebab besan kerja kerajaan. Pegawai pula tu senang la nak minta tolong.
Ya. Itu yang ayahnya kata pada aku. Direct masa aku lepas bertunang.
Long story short, perkahwinan aku agak tunggang langgang kerana ketika itu tiba tiba PKP.
Dengan aku yang ditahun akhir menyatakan hasrat untuk tundakan perkahwinan kerana aku malas nak fikir majlis dikala aku tengah serabut dengan projek tahun akhir.
Aku, mak mertua dan adik ipar (pada masa tu belum adik ipar la ye) yang aku gelarkan Gopal dalam konteks ini, berbincanglah bertiga.
Kenapa kami bertiga? Sebab Gopal pun ingin berkahwin tapi hanya selepas kami berkahwin.
Aku pening dengan tunang Gopal (Sekarang sudah isteri) ketika ini. Tak nak kahwin satu kalendar islam dengan aku dan suami. Jadi, aku suruh sajalah mereka kahwin dulu kalau begitu.
Biar aku habiskan belajar. Tapi si Gopal ni tak mahu! Dia kata tak mahu langkah bendul. Aku rasa langkah bendul ni valid untuk perempuan saja kan? Pening aku.
Perbincangan melalui whatsapp. Mak mertua aku ni jenis suka forward mesej.
Jadi, apa yang aku mesej dia forward ke Gopal. Apa yang Gopal mesej, dia forward ke aku. Tidaklah aku mesej yang tunang Gopal tu memeningkan. Aku cuma nyatakan suruh mereka berkahwin dulu je kalau begitu.
Tahu apa yang Gopal balas dan aku rasa mak mertua aku TERforward mesej tersebut bersama mesej lain. Dia katakan yang keluarga aku menyusahkan.
Ya. Bukan aku, tapi keluarga aku. Walaupun ini kejadian lima tahun sudah, aku ingat sampai kini frasa tu.
Aku masih boleh tutup mata jika dia berkata pasal aku, tapi bila dia sebut keluarga aku, amboi. Sekarang kalau kena saman atau apa apa tiba-tiba sibuk cari ayah aku. Eh? Hingga kini telinga aku berbulu kalau dengar nama Gopal.
Untuk aku nikah, mak mertua aku bersemangat nak jahitkan busana untuk aku. Ya, dia tukang jahit. Ada brand tersendiri.
Aku pun terima sajalah mungkin semangat nak sambut menantu sulung. Dia suruh aku beli kain sendiri.
Aku kan student? Duit berapa sen sangatlah. Aku minta duit anak dia, suami aku la yang ketika itu tunang aku.
Dia bagi la sikit yang tak lepas pun nak beli dekat J-kel. Jadi, aku beli di Sh-pee jela. Fikir nanti lepas kahwin suami aku nak kena bayar sewa rumah tempat aku belajar lagi jadi kami berjimat.
Aku hantar kain tersebut ke mak mertua aku. Dia banyak pula komen. Awalnya aku tak kisah. Tapi bila dia kerap ulang benda yang sama, aku macam nak je mintak duit dia pergi beli kat J-kel sana.
Kain keras lah. susah potong lah, sulam tak cantiklah, ulanglah sepanjang berapa lama dia ukur badan aku. Panas betul telinga.
Pastu kain satin yang aku beli dia tak nak pakai. Katanya kejung, dia buang. Dia guna kain satin lebihan tunang Gopal dulu. Apa dia ingat kain satin tu aku beli pakai daun ke?
Kain satin, veil semua entah mana dia campak. Bila aku dapat tahu perkara ni? Lepas baju dah siap jahit. Panasnya hati aku.
Aku minta balik kain kain yang aku beli dia tak nak pakai tu. Dia jawab dia lupa letak mana. Ah sudah.
Fast forward aku pun berkahwin. Sepanjang dua tahun perkahwinan aku nak amik hati mak mertua aku ni, macam macam aku belikan.
Tudung, shawl, baju, kain batik. Dia nak apa apa yang dia whatsapp ke aku semua aku belikan. Masa ni aku dah bekerja. Kami suami isteri duduk jauh dengan keluarga mertua.
Tapi aku perasan, tudung dan shawl yang aku belikan dia tak pernah pakai. Tapi aku husnudzon jela dia pakai time aku tak nampak.
Contohla dia call aku mintak belikan shawl warna sekian sekian nak pakai masa majlis bertandang aku dan suami nanti. Jadinya aku belikanlah taklah mahal.
Tapi esok harinya dia pakai tudung lain. Aku kecik hati tapi macam biasa aku bersangka baiklah, tapi tidak.
Dia buat tudung tersebut sebagai kain lap minyak motor mesin jahit. Aku dapat tahu beberapa bulan selepas majlis, bila masuk kedai jahit dia.
Waktu aku sarat, aku ikutlah keluarga mertua aku berjalan di JB. Masatu isteri Gopal baru lepas habis pantang bersalin.
Mak mertua aku berkenan tudung jadi dia mintakan Isteri Gopal beli. Esoknya juga terus pakai! Wah.
Aku pernah belikan dia baju lepas balik bercuti di Indonesia. Aku belikan untuk mak mertua, mak sendiri, ayah sendiri dan ayah mertua juga. Adalah kaftan dan kain batik berhelai-helai.
Lepas tiga bulan aku beri buah tangan ni, aku pun bersalin. Dalam tempoh berpantang aku di rumah mak aku.
Dia datang melawat. Dan dia tengok kain batik yang sama aku cuma berlainan warna, dia tanya yang aku pakai tu kain batik indonesia tu ke?
Aku pun jawablah iya sama. Dia kata yang dia tak nak pakai. Kainnya panas. Gatal. Sama juga dengan kaftan yang aku beri. Dia kata panas. Kain murah.
Sentap aku. Sentap yang sesentapnya. Kalau tak suka pun, janganlah complaint depan pemberi. Mak aku pakai elok je sampai sekarang.
Yang lagi kecewa apa tahu? Minggu ketiga aku berpantang aku baliklah ke rumah dia. Tak plan pun nak tidur sana sebab rumah sebelah daerah saja.
Petang tu aku dah rasa berlengas, aku nak mandi jadinya aku ajak suami aku balik.
Tapi mak mertua aku tahan dan bagi baju dan kain batik suruh aku mandi. Ya, baju t-shirt indonesia dan kain batik indonesia yang aku beri dulu, dia hulur sambil kata nah amiklah yang ni. Nak bawa balik tak pulang pun takpa.
Maka dengan itu aku azamkan, aku tak mahu dah belikan apa apa. Cukuplah. Aku pilih untuk selamatkan hati sendiri.
Beberapa bulan kemudian mereka datang melawat aku di kotaraya. Rumah aku biasa saja. Walk up flat murah yang takda lift tu. Aku duduk di tingkat atas sekali.
Ayat pertama dia sembur masa masuk rumah, berminyaknya lantai. Allahu. Rumah aku simen biasa, beralas tikar getah.
Dengan ada anak kecil lagi jadinya aku sempat mop biasa biasa sajalah. Dia pun datang mengejut cakap hanya kurang 2 jam sebelum muncul.
Aku bersendiri dengan anak kecil. Kemas apa adalah. Dia asiklah mengulang kaki dia melekit aku tak mop betul.
Sepupu suami aku ada sekali ketika itu nasib baik dia faham dan cakap sebab tikar getah je ni. Terus senyap.
Aku penat sebenarnya nak jaga hati jadi aku sendiri kurangkan interaksi aku dengan mak mertua aku ni.
Aku jarang balik kampung. Suami aku tak tahu kisah kisah ni tapi suami aku tahu aku tak selesa disana.
Pada dia, mungkin kerana adik beradik dia semua lelaki. Kalau balik kampung pun, jika mak mertua di dapur, aku di ruang tamu tengok anak.
Rumah mak mertua aku tak child-safe ya bila bila saja anak aku boleh terlentang.
Kalau aku kedapur tolong pun ada saja dia nak complaint. Aku potong bendi salah, masak ayam jangan masuk tulang dulu, salah pakai pisau, salah pakai penyapu. Ah sudah rimas aku. Jadi aku stop.
Dia pernah suruh aku masak udang masak lemak, masa tu anak aku baru 5 bulan. Aku dah masak sambil anak aku isteri Gopal tengokkan.
Aku dah hampir siap masak, anakku menangis nak susu. Dia menyusu badan. Jadi aku suruh suami aku kacau lauk ni lagi 3 minit angkat. Aku handle anak aku. Anak aku kuat susu jadi lamalah tempoh dia menyusu.
Aku suruh mereka semua makan dulu. lepas setengah jam mereka siap makan. Lauk yang aku masak tu tak bersentuh pun.
Macam mana aku tahu? Keadaan dia sama dengan dalam story instagram isteri Gopal sebelum start makan.
Aku ke yang cepat ambil hati? Aku puas pujuk hati mengatakan yang anak mak mertua aku ni semua lelaki jadi dia memang straight forward.
Tapi aku masih tak terpujuk. Aku sedih. Nak raya ni aku dapat bonus. Aku belikan keluarga aku baju raya.
Suami aku tanya kenapa tak belikan juga untuk mak ayah dia? Aku suruh dia guna duit sendiri. Aku tolong pilih.
Tapi sebenarnya aku tak nak kecik hati dan aku tak nak aku fikir “membazir duit aku je”. Dan suami aku diam. Aku ke yang salah?
Terima kasih sudi membaca. Aku berhenti disini sajalah.
Reaksi Warganet
Shanizatul Hanis –
Perempuan… suka memendam. Saya stop memendam ni bila ada orang terdekat pendam sampai kena makan ubat depression.
Girl, tak berbaloi ok! You dapat sakit, suami you dapat apa? You yang rugi sorang sorang.
Luah jelah dekat suami you, reason apa you stop labur duit utuk mak mertua. Suami you nak terima ke tak janji you dah luah.
Tak berbaloi pendam sampai depression sebab takut suami tahu. End up suami you tak rugi apa apa
Maryam Jamilah Noh –
Share dengan suami sis. Dia nak defend u ke tak nak ke lantak dia. Janji dia tau apa u rasa.
Stop la amik hati mil tu pilihan yang tepat. Takyah bagi apa apa, tak yah tolong apa apa. Buat apa memberi pada yang tak sudi. Berbakti pada mak ayah dah la.
Buat macam mana pun akhirnya menantu tetap orang luar. Cukuplah sekadar menghormati. Cukup besar dah tu untuk sis.
Paling penting jangan halang kasih sayang atuk nenek dengan cucu. Tu masalah mil dengan u. Anak anak tak salah pun.
Stay strong sis. Panjang lagi nk hadap tu unless u tukar mil
Nor Khai –
Sama dengan saya awal perkahwinan aseklah belikan hadiah nak ambil hati katanya. Bila beli, banyak pula dikomennya. Itu tak kena ini tak kena.
Start ada anak saya stop beri hadiah, biarlah biras lain pula beri hadiah. Di puji pujinya depan kita biras itu belikan hadiah mahal. Saya tersenyum aja.
Last last biras saya tu pon stop beri hadiah sebab tak tahan mulut mak mentua kesayangan.
Ini lah rata rata perangai orang tua kot tak sedar kadang kadang ayat mengguris hati. Tapi bila dia yang kena pandai pula terasa hati.