Semua media perlu dibenarkan buat liputan sidang Parlimen 18 Mei, gesa CIJ

Semua media perlu dibenarkan buat liputan sidang Parlimen 18 Mei, gesa CIJ

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menggesa supaya semua media dibenarkan membuat liputan terhadap persidangan Parlimen satu hari pada 18 Mei ini.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G. Naidu berkata, pihaknya berasa kecewa dengan laporan kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Mohd Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan bahawa hanya media kerajaan dibenarkan membuat liputan.

Alasan yang diberikan terhadap peraturan dan arahan tersebut adalah berhubung wabak Covid-19.

Kata beliau, peranan Negara adalah untuk menggalakkan demokrasi dan membenarkan suara-suara tidak puas hati didengari biarpun ia kritikal terhadap dasar atau dakwaan salah urus di pihak pembuat dasar.

Jelasnya, hak untuk mendapatkan maklumat dan idea atau seumpamanya adalah dilindungi di bawah Perlembagaan Negara, sebagaimana undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan bersuara dan melahirkan pendapat.

Katanya lagi, demokrasi bermakna wakil-wakil rakyat tertakluk pada pemerhatian awam, disoal dengan soalan-soalan yang payah, diberi pelbagai komen serta dikritik.

“Biarpun diketahui bahawa terdapat lintas langsung terhadap persidangan tersebut, namun menghalang akses media terhadap Ahli Parlimen, sama ada di luar atau di dalam dewan bermakna peluang untuk mendapatkan penjelasan maklumat secara terus dengan ahli politik telah dinafikan.

“Sekarang hanya ada mesej atau persepsi satu hala, sebarang pandangan yang bertentangan untuk diketahui umum terhalang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu kata Wathshlah, adalah perlu arahan yang menghadkan akses media ini ditarik balik dan semua media seharusnya diberikan peluang yang sama rata dan adil untuk membuat liputan terhadap persidangan Parlimen itu.

Beliau menegaskan bahawa sebarang langkah untuk menangani Covid-19 dan sebarang potensi untuk menghadkan kebebasan media mesti berasaskan undang-undang, bersesuaian dan bersifat sementara dalam berhadapan dengan kesihatan umum.

“Dalam kes ini Covid-19 tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan untuk menghalang atau menghadkan akses media, yang akhirnya menafikan masyarakat awam maklumat yang seimbang berhubung persidangan Parlimen itu,” katanya.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/cij-gesa-semua-media-dibenarkan-buat-liputan-sidang-parlimen-18-mei/

COMMENTS