Semua ahli parlimen diseru desak menteri kewangan kembalikan moratorium – Kesatuan pekerja

Semua ahli parlimen diseru desak menteri kewangan kembalikan moratorium – Kesatuan pekerja

Kesatuan Pekerja Bank Nasional (NUBE) menyeru ahli Parlimen pemerintah dan pembangkang mendesak menteri kewangan mengembalikan moratorium menyeluruh ke atas pinjaman bank selama 6 bulan lagi melalui Belanjawan 2021.

Setiausaha Agung J Solomon berkata, pelaksanaan semula moratorium pinjaman bank untuk 6 bulan lagi contoh cadangan yang mampu meraih sokongan bipartisan daripada 222 ahli Parlimen, jika ia terkandung dalam Belanjawan 2021.

“Langkah ini dapat menjadi pemangkin untuk kedua-dua pihak mengadakan perbincangan lanjut dalam usaha membuahkan cadangan bernas lain untuk Belanjawan 2021.

“Ini, kami rasa, akan menyerlahkan semangat di sebalik nasihat diberikan Agong untuk memastikan Belanjawan 2021 tidak dikekang oleh percakaran politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Solomon, moratorium pinjaman selama 6 bulan diperkenalkan Putrajaya pada April lalu merupakan langkah berkesan meringankan beban kewangan pekerja dan perniagaan yang dilanda kemerosotan ekonomi.

“Hakikat ini diakui hampir semua orang, temasuk ahli Parlimen pembangkang. Malangnya moratorium itu tamat September lalu, tidak lama kemudian terdapat lonjakan kes Covid-19 yang menyebabkan perniagaan dan pekerja terjejas,” katanya.

Keputusan Putrajaya melaksanakan skim bantuan bersasar dan bersyarat tidak memadai untuk membantu jutaan pekerja yang terpinggir, termasuk pekerja gaji harian dan perusahaan kecil dan sederhana.

“Kami merasakan sektor perbankan mampu menunda pembayaran pinjaman mereka selama 6 bulan lagi kerana bank mencatatkan keuntungan sekitar RM32 bilion untuk 2019.

“Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), bank-bank pada ketika ini terus berada dalam keadaan baik dan mempunyai ketahanan mengharungi pandemik Covid-19,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/29/bersatu-desak-putrajaya-kembalikan-moratorium-dalam-belanjawan-2021-seru-kesatuan/

COMMENTS