Sempena hari Wilayah, AMANAH seru semua pihak berganding bahu hadapi suasana mencabar

Sempena hari Wilayah, AMANAH seru semua pihak berganding bahu hadapi suasana mencabar

Sempena Hari Wilayah Persekutuan, saya mengambil kesempatan ini menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan kita semua terutama warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya untuk meraikan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini.

Meskipun berhadapan dalam suasana norma baharu dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita hidupkan bersama semangat cintakan Wilayah Persekutuan dengan sentiasa menanam sikap kasih sayang, saling hormat menghormati dan prihatin yang mendalam tanpa mengambil kira perbezaan agama, bangsa dan kaum.

Saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat terutamanya para petugas barisan hadapan, yang telah menunjukkan semangat pengorbanan yang tinggi dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 ini khususnya di Wilayah Persekutuan ini yang mencatatkan antara kes baharu yang tertinggi dalam negara.

Dalam konteks pembangunan di Wilayah Persekutuan saya mengharapkan pihak berkuasa sentiasa merancang mengikut kepentingan rakyat dan kelestarian alam persekitaran kita. Kesejahteraan dan kehidupan damai adalah lebih penting daripada blok-blok konkrit yang kelihatan cantik tetapi tidak memberikan kualiti kehidupan yang boleh merangsang kesihatan fizikal dan mental.

Kesedaran sivik yang tinggi akan memberikan bayangan ketinggian akhlak warga kota, pembayang kepada kejayaan konsep dan amalan Rahmatan Lil ’Alamin yang diterapkan untuk semua. Ini merangkumi budaya bersih, tolak ansur, gotong royong dan kepedulian sesama warga kota.

Dalam suasana yang penuh mencabar ini marilah kita bersama berganding bahu saling bantu membantu antara satu sama lain, memupuk nilai-nilai murni di kalangan kita dan memastikan keharmonian terpelihara serta kekal berpanjangan.

Dr Mohd Hatta Md Ramli
Pengerusi
Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan

 

COMMENTS