Selesai bahas Belanjawan, Umno akan bangkitkan semula isu jawatan TPM – Ismail Sabri

Selesai bahas Belanjawan, Umno akan bangkitkan semula isu jawatan TPM – Ismail Sabri

UMNO akan membangkitkan semula kedudukan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaik sahaja perbahasan pembentangan Belanjawan 2021 selesai di Dewan Rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu jawatan TPM tidak pernah didiamkan kerana parti berkenaan merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.

Lebih-lebih lagi, tegas Ahli Parlimen Bera itu, apabila tiada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet selain Menteri Kanan Pertahanan yang disandang beliau ketika ini.

“Barisan Nasional (BN) ada 42 kerusi (Parlimen), paling besar, tetapi kita tidak ada jawatan tertinggi. Menteri Kanan saya seorang, yang lain (tiga) semua daripada Bersatu.

“Jadi adillah kalau UMNO minta jawatan TPM dan wajar diberikan sebagai mana cadangan Biro Politik dan dipersetujui Majlis Tertinggi (UMNO),” katanya dalam wawancara dengan akhbar Mingguan Malaysia yang diterbitkan pada Ahad.

Menurut Ismail Sabri juga, susulan perbincangan antara Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan disegerakan.

Tambah beliau, jawatan TPM telah dipersetujui parti mengikut hierarki dengan mengutamakan lima pemimpin teratas bermula Presiden, Timbalan Presiden selain tiga Naib Presiden lain.

“Kita menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai (siapa yang sepatutnya layak). Bagi UMNO, kita perlukan jawatan TPM tetapi orang yang berada di luar hierarki tidak wajar mengisi jawatan tersebut.

“Tidak boleh sesuka hati nak lantik sesiapa, kena hormat pendirian UMNO. Jadi saya harap selepas Belanjawan, perkara ini dibincangkan semula,” katanya lagi.

Isu jawatan TPM hangat diperkatakan sebelum ini, malah beberapa nama pemimpin UMNO turut menjadi bualan dikatakan antara nama yang disenarai pendek sebagai calon bagi jawatan kedua tertinggi kerajaan itu.

Antaranya, Ahli Parlimen Sembrong yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah serta Ismail Sabri sendiri.

Selain itu, Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga antara nama yang disenaraikan sebagai calon.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/umno-akan-bangkitkan-isu-jawatan-tpm-selepas-bahas-belanjawan-2021-selesai-ismail-sabri-270707

COMMENTS