“Selera bukan main nak wanita solehah, tapi bila jadi suami suka tengok perempuan lain

Oleh DAHLIA MARZUKI

Baru-baru ini tular satu perkongsian mengenai suami kepada seorang usahawan terkenal yang gemar melihat gambar wanita seksi ketika isterinya sedang sarat hamil.

Perkongsian itu telah mendorong wanita dikenali sebagai Bunga menceritakan pengalaman sendiri setelah melalui kejadian yang sama ketika disahkan hamil anak pertama.

Berniat untuk memberi pengajaran kepada orang ramai, berikut adalah peristiwa hitam dalam hidup Bunga yang mengubah kehidupan berumah tangga wanita terbabit.

“Aku seorang isteri yang memiliki tiga cahaya mata. Aku kongsikan pengalaman yang dialami sendiri selepas terbaca kes suami ‘influencer’

atau tauke baju suka ikuti atau ‘follow’ akaun media sosial perempuan seksi.

“Selera bukan main nak wanita solehah, tapi bila jadi suami suka tengok perempuan lain

Terbaca sahaja tajuk artikel, aku terus terimbau kenangan lalu. Rasa kegelisahan yang luar biasa apabila teringat semula.

“Sejak kejadian itu, aku macam trauma dengan perkara seperti ini. Tetapi aku serah kepada Allah sepenuh hati. Semoga kamu semua mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah aku. Suami aku sebelum kahwin memang sudah ikut akaun Instagram perempuan seksi, tengok video yang tidak sononoh. Masa itu belum terfikir lagi.

“Mungkin betul, cinta itu buta. Selepas kahwin baru rasa macam tak selesa perangai suami macam itu. Aku ingatkan selepas nikah perangai seperti itu hilang sebab yang halal sudah ada. Tetapi tidak, paling ketara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan. Semasa ini, aku mengandung anak pertama.

“Kamu bayangkan, aku ada di depan mata pun suami boleh buka video tak senonoh. Sedih tahu tak. Kami pula susah nak berkomunikasi sebab dia mudah naik baran. Geram betul aku. Pernah gaduh mengenai perkara ini. Aku cakap nak cerai. Kalau ikut baran suami, memang nak lafaz. Tetapi belum terkeluar daripada mulut dia.

“Perangai suami kekal sampai aku mengandung anak kedua. Gaduh dan menangis semua sudah. Serius cakap, sedikit pun tak berkurang perangainya. Aku siap tukarkan gambar profil telefonnya dengan foto dada perempuan yang dia tengok. Aku tukar setiap kali suami padam sampai dia tukar kata laluan telefon. Memang gaduh besar.

“Kami bergaduh selepas itu baik semula sampai aku sendiri penat. Bila aku tanya tak jawab. Suami buat diam sahaja. Tahu pula tiada jawapan nak bagi. Hingga akhirnya aku cakap tak nak ada anak perempuan selagi perangai dia macam itu. Aku juga nak bercerai kalau dia tak berubah. Sebab perkara ini kacau mental dan emosi aku.

“Aku jadi kemurungan, rasa macam ‘loser’. Macam-macamlah aku buat untuk suami. Akhirnya aku yang sedih, sakit hati. Jadi aku buat bodoh sahaja selepas itu. Berhenti ambil kisah mengenai suami. Lantaklah dia nak tunggang terbalik. Telefon aku sudah tak periksa, Aku doa dan berserah kepada Allah kalau dia buat benda tak elok.

“Sekejap sahaja Allah tunjuk, ada sahaja hal yang berlaku dekat suami. Aku diamkan diri sahaja. Aku fokus kepada anak dan diri sendiri sahaja. Mencintai diri sendiri, gitu. Pernah sampai sebulan lebih aku tak mahu bersama dengan suami. Pada aku, suami sudah tengok semua benda itu. Jadi buat apa aku layan dia lagi. Padan muka.

“Alhamdulillah, suami berubah juga dengan perlahan. Video tak senonoh, kumpulan dalam Telegram juga dia sudah tak tengok. Cuma suami ikut lagilah akaun Instagram perempuan seksi seorang dua. Banyak perubahan aku tengok. Tetapi kalau dia sorok tengok senyap-senyak aku tak tahulah. Pandailah dia menjawab selepas mati nanti.

“Tetapi bahagian aku, rasanya sudah selesai. Aku serah sahaja kepada Allah. Kalau ada yang tak baik, sekejap sahaja Allah tunjuk. Alhamdulillah sangat, suami banyak berubah dari ‘kebiasaan’ lelaki ini. Aku nak pesan kepada semua lelaki yang bujang termasuklah mereka sudah berkahwin. Tolonglah jaga pandangan kamu semua.

“Bukan main nak isteri solehah, menutup aurat kononnya. Tetapi mata itu gatal betul tengok perempuan lain. Geram betul aku. Kadang-kadang sengajalah aku pakai baju yang ketat sedikit. Biar suami rasa orang lain tengok isteri dia pulak. Baru tahu. Ingat ya. Nak bahagia dengan isteri? Jaga pandangan daripada tengok wanita lain.

“Apabila isteri bahagia dengan suami, Insya-Allah rezeki kamu mencurah macam air terjun. Serius cakap. Inilah kisah aku. Terima kasih sudi baca.” Kongsi Bunga (Bukan nama sebenar) menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Dah lima tahun tak nampak’- Jabatan Perikanan akui penyu belimbing kini diancam kepupusan