Selepas Pantai Tanjung Rhu, laut di Pulau Giam pula ‘terbelah’

Oleh AHMAD SULAIMAN

Selepas Langkawi, fenomena laut terbelah disaksikan di Pulau Giam di Pangkor pula.

Menurut Bernama, ia susulan kemunculan beting pasir sepanjang lebih 400 meter (m) yang menarik kehadiran puluhan ribu pengunjung

Dari dalam dan luar negara pada pertengahan Februari setiap tahun.

Selepas Pantai Tanjung Rhu, laut di Pulau Giam pula ‘terbelah’

Penolong Pegawai Tadbir (Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai) Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Nur Aniessa Abd Aziz, berkata fenomena unik itu hanya berlaku sekali dalam setahun selepas air laut di kawasan berkenaan surut habis.

Biasanya, kata Nur Aniessa, fenomena itu akan berlaku menjelang perayaan Tahun Baharu Cina dan ia bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari selama tiga hari berturut-turut.

“Ini antara tarikan utama pengunjung ke Pulau Pangkor kerana mereka boleh merasai sendiri serta merakam pengalaman berjalan kaki dari Pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam bersama keluarga,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Nur Aniessa berkata, sepanjang merentasi tebing pasir berkenaan, pengunjung turut berpeluang melihat dan memegang hidupan akuatik seperti gamat emas, timun laut dan sebagainya.

“Ini (pengalaman melihat dan memegang hidupan akuatik) sedikit sebanyak memberi pengetahuan, khususnya kepada kanak-kanak untuk mengetahui tentang hidupan akuatik yang banyak terdapat di kawasan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, keunikan fenomena terbabit juga mula diketengahkan sebagai antara produk pelancongan di pulau bebas cukai itu sejak empat tahun lalu.

“Selepas reda COVID-19, kita mula buat hebahan mengenai fenomena ini. Alhamdulilah, impaknya kita nampak dengan bilangan pengunjung yang akan memenuhi pulau itu setiap kali menjelang perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Katanya, MPM berkolaborasi dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta polis bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin semasa di lokasi berkenaan.

Pengunjung, Ahmad Fakiruddin Omar, 28, berkata beliau bersama tiga rakan ke Pulau Pangkor atas urusan kerja, namun tidak menyangka berpeluang menikmati fenomena berkenaan.

Katanya, mereka hanya mengetahui fenomena itu melalui pengusaha hotel tempat mereka menginap semalam selepas tiba ke lokasi berkenaan.

“Kebetulan ada masa yang terluang, jadi kami tak lepaskan peluang untuk merasai pengalaman merentasi tebing pasir ini. Amat menyeronokkan kerana kami dapat pegang sendiri timun laut yang banyak terdapat di situ,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Lee Kam Seng, 34, dari Selangor, berkata beliau dan isteri, Lai Poh Lian, 30, sentiasa teruja menikmati fenomena berkenaan walaupun ini kali ketiga berturut-turut mereka berkunjung ke lokasi terbabit.

Katanya, faktor keselamatan antara perkara utama yang perlu dititikberatkan kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku sekiranya pengunjung alpa.

Semalam, BH Online melaporkan, fenomena laut terbelah susulan kemunculan beting pasir sepanjang 600 meter di Pantai Tanjung Rhu di Langkawi, menarik perhatian lebih 3,000 pengunjung.

Fenomena unik selama satu jam 15 minit mulai 6.45 pagi itu muncul sekali dalam setahun selepas air laut di kawasan itu dilaporkan surut sehingga 0.1m. Kejadian sama yang menarik perhatian pelancong dan penduduk tempatan dijangka berulang esok mulai 7.30 pagi.

Turut meninjau fenomena air surut itu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah.

Kejadian beting pasir itu dikatakan berlaku sejak lebih 19 tahun lalu, namun LADA mengambil inisiatif bekerjasama dengan sebuah hotel berhampiran dan mempromosinya sebagai aset pelancongan sejak empat tahun lalu.

BACA: “Dimana silapnya saya, isteri langsung tak boleh kena tegur, tak boleh disuruh langsung, diajak solat pun tak nak”