Selepas dihentam hebat, Sanusi buat ‘u-turn’ isu konsesi balak

Selepas dihentam hebat, Sanusi buat ‘u-turn’ isu konsesi balak

Kerajaan Kedah tidak berhasrat membuka kembali konsesi balak dengan meneroka kawasan baharu pembalakan sebaliknya cadangan terbabit hanya antara opsyen menyelesaikan masalah berbangkit selepas kelulusan konsesi pembalakan sebelum ini dibatalkan.

Pejabat Menteri Besar dalam kenyataannya berkata, susulan pembatalan konsesi berkenaan oleh kerajaan negeri terdahulu, pihaknya berhasrat meneliti semula isu berkenaan memandangkan syarikat-syarikat berkenaan telah membayar premium.

Menurut kenyataan itu, antara implikasi yang terpaksa dihadapi kerajaan negeri adalah sama ada berdepan tindakan mahkamah, membayar ganti rugi atau menimbangkan langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat konsesi terlibat.

“Ia bukan cadangan untuk kerajaan negeri membuka kawasan baharu pembalakan. Ia hanya antara cadangan untuk menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tampil memberi penjelasan berhubung isu berkenaan berikutan ia mencetuskan kekeliruan dan polemik dalam kalangan netizen.

Ia susulan kenyataan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman semalam, yang menyatakan kerajaan negeri sedia mempertimbangkan membuka kembali konsesi balak bagi mengelak membayar tuntutan lebih RM1 bilion yang dikemukakan syarikat pembalakan sebelum ini.

Syarikat terbabit sebelum ini dibatalkan konsesi mereka berikutan keputusan kerajaan negeri mewartakan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.

Kerajaan negeri menegaskan, kawasan lain yang digantikan sebagai opsyen mestilah dalam kawasan hutan pengeluaran yang dibenarkan Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan.

“Keutamaan kerajaan negeri adalah kehidupan rakyat tidak terganggu, tiada pencemaran, tidak ada penggondolan, hakisan, banjir lumpur dan lain-lain akibat yang boleh membawa kemusnahan kepada alam sekitar dan kehidupan manusia sama ada jangka pendek atau jangka panjang,” katanya.

Katanya, langkah-langkah ini akan diperhalusi dan diberikan pertimbangan sewajarnya, sekiranya kerajaan negeri bersedia untuk membayar tuntutan ganti rugi dianggarkan mencecah RM1 bilion, isu berkaitan kawasan ganti tidak timbul.

Berita Penuh :https://www.sinarharian.com.my/article/85081/EDISI/Utara/Kedah-tidak-berhasrat-teroka-kawasan-baharu-pembalakan

COMMENTS