Selepas dua tahun berumah tangga, pelakon Jay Iswazir disahkan bercerai dengan isterinya, Azzahra Ahmad.
Berita penceraian itu diumumkan dan disahkan sendiri oleh Azzahra melalui akaun Instagram (IG) miliknya, malam tadi.
“Bismillahirrahmanirrahim. Dengan rendah hati, saya ingin memaklumkan bahawa hubungan saya dengan Ahmad Iswazir Ismail berakhir. Kami sudah berpisah.”
Menurut Azzahra, pengumuman penceraian ini dibuat untuk mengelakkan salah faham atau fitnah.
“Bagi mengelakkan salah faham atau fitnah, saya terpaksa membuat hantaran ini untuk memberitahu kepada umum atas sebab-sebab tertentu.
Mengapa kami berpisah, rasanya tidak perlu saya umumkan. Cukuplah mereka yang tahu sahaja yang mengetahui.”
Dalam hantaran yang sama, Azzahra menulis harapan agar bekas suaminya itu menunaikan tanggungjawabnya selepas bercerai.
“Semoga dalam tempoh edah ini, saya berharap agar awak dapat menunaikan tanggungjawab dan jangan mengambil mudah lagi. Cukuplah dengan apa yang terjadi selama ini, saya sudah cukup bersabar. Terima kasih atas segalanya sepanjang kita bersama sebagai suami isteri.
Maaf atas segala kekurangan, halalkan makan minum saya. Mohon doakan yang terbaik untuk kami berdua meneruskan hidup masing-masing selepas ini.”
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi serta kata-kata semangat dalam ruangan komen, termasuk dari rakan artis seperti Bella Astillah, Taufiq Hanafi, dan ramai lagi.
Sekadar rekod, Jay dan Azzahra berkahwin pada Mac 2022. Setakat ini, Jay belum memuat naik sebarang hantaran berkaitan penceraian tersebut di akaun media sosialnya.
BACA: ‘Kalau bapa aku dah lama dia masukkan dalam kubur sebelah’