Selangor pertahan tindakan tak laksana PKPB

Selangor pertahan tindakan tak laksana PKPB

Selangor mempertahankan tindakan mengubah suai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata apa yang dilakukan mereka bawah bidang kuasa negeri.

“Saya tak nak mengulas negeri lain.

“Saya percaya keputusan yang dibuat oleh kerajaan Selangor, berada dalam lingkungan dan bidang kuasa yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Kita membuat keputusan yang akan diubah suai (mengikut keadaan),” katanya kepada pemberita di, Shah Alam, Selangor, hari ini.

Demikian katanya ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Mohamed Azmin Ali bahawa kerajaan negeri terdedah kepada tindakan undang-undang pihak industri jika ekonomi tidak dibenar dibuka semula bawah PKPB yang diputuskan oleh pusat.

Selain Selangor, beberapa negeri lagi membuat keputusan sama semalam.

Namun, Amirudin berkata keputusan kerajaan negeri berdasarkan beberapa mesyuarat serta penelitian pegawai-pegawai dan agensi yang terbabit dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor.

“Saya yakin (syarikat) mungkin boleh mengambil tindakan itu. Kita negara perlembagaan. Ada undang-undang dan sebagainya. Tetapi yang Selangor fikirkan, ia dalam bidang kuasa kami.

“Kita percaya ini tempoh peralihan. Dalam tempoh ini kita kena lakukan tindakan dengan berhati-hati kerana selepas kita ratakan lengkungan.

“Kita tidak boleh benarkan mencuba atau terlalu kurang berhati-hati yang mungkin boleh menyebabkan kluster-kluster yang besar sebagaimana kluster Sri Petaling wujud sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah kerajaan Selangor memilih pendekatan pendekatan tidak drastik.

“Saya lebih kepada soft landing berbanding dengan crash landing.

“Ada dua perkara di sini, iaitu kehidupan dan semangat kehidupan. Kami nak mempertahankan kedua-duanya. Kami nak pastikan ia tidak bertembung dan akhirnya kita sia-sia,” katanya.

Negeri akan keluarkan perincian dan penjelasan

Tambahnya, exco negeri Teng Chang Kim akan mengeluarkan kenyataan mengenai perincian dan penjelasan kerajaan negeri dalam tempoh PKPB ini dalam masa terdekat.

Enam negeri dilaporkan tidak akan membuka semula sektor ekonomi bermula 4 Mei ialah Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Pulau Pinang akan meneruskan aktiviti perniagaan pada 8 Mei tetapi mengekalkan sekatan PKP lain, seperti menyekat sebarang aktiviti rekreasi sehingga 12 Mei.

Pahang, Kelantan dan Kedah akan membincangkan sama ada akan membuka semula sektor ekonomi minggu hadapan.

Kerajaan negeri Selangor, Perak dan Negeri Sembilan membenarkan perniagaan dibuka bermula esok.

Namun ketiga-tiga negeri itu tidak akan membenarkan pelanggan makan di restoran.

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/524147

COMMENTS