Lembaga Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapati bahawa faktor kesilapan pandu arah dan keusangan kapal
Menjadi punca insiden Kapal Diraja (KD) Pendekar karam di perairan Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos lepas.
Menurut kenyataan Markas Tentera Laut, siasatan menunjukkan bahawa kapal tersebut tersasar daripada laluan yang dirancang dan melanggar Terumbu Punggai.
Selain itu, usia kapal yang melebihi had Dasar Kasting, iaitu berusia 45 tahun, menyebabkan kelemahan struktur badan kapal
Dan kesukaran dalam kawalan kebanjiran, yang akhirnya mempercepatkan penyebaran air ke kompartmen lain.
“Operasi menyelamat dan mengapungkan KD Pendekar berjaya diselesaikan pada 15 Oktober lalu oleh sebuah firma tempatan, dan kapal kini dalam proses pemeriksaan teknikal,” menurut kenyataan tersebut.
Pada 25 Ogos, KD Pendekar karam ketika sedang melaksanakan rondaan operasi. Insiden berlaku apabila kapal mengalami gegaran kuat diikuti dengan kebanjiran besar sewaktu menghampiri pesisir pantai untuk pemeriksaan teknikal.
Kesemua 39 kru kapal berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal dagang MV ASHLEY tanpa mengalami kecederaan.
Lembaga siasatan turut mengesahkan bahawa penyelam TLDM, Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa, meninggal dunia akibat lemas semasa melakukan operasi salvaj KD Pendekar.
“Arus tidak menentu dan lumpur tebal di dasar laut mengakibatkan jarak penglihatan sangat terhad, sekitar 0.3 meter pada hari kejadian. Situasi ini meningkatkan risiko dan tekanan kerja yang mencabar bagi penyelam. Tali keselamatan yang digunakan tersangkut pada kapal, dan langkah kecemasan yang diambil tidak berjaya, menyebabkan mangsa lemas,” menurut kenyataan itu.
Markas Tentera Laut juga memaklumkan bahawa berdasarkan siasatan, prosedur operasi standard penyelaman dan langkah keselamatan telah dipatuhi, manakala peralatan dan kompetensi mangsa disahkan memadai.
TLDM menegaskan bahawa pihaknya mengambil serius terhadap dapatan kedua-dua insiden tersebut serta mengutamakan keselamatan dan kesiapsiagaan anggota untuk menjalankan tugas dengan sempurna mengikut garis panduan yang ditetapkan
BACA: Akhirnya setelah sekian lama menunggu, Tol percuma bermula Hari ini