‘Sekarang kami dah berbaik, tak jadi cerai’ Pasangan suami isteri tak jadi cerai lepas dengar Era FM

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Apabila berbicara tentang jodoh, sudah tentu ia merupakan rahsia Allah SWT. Siapa, bila, dan bagaimana semuanya telah ditentukan oleh Yang Maha Esa.

Memasuki alam perkahwinan membawa perbezaan besar berbanding kehidupan semasa bujang.

Perkahwinan merupakan amanah untuk memikul tanggungjawab membina keluarga yang lebih besar dan sejahtera.

Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan perkahwinan mereka kekal hingga ke akhir hayat.

Tiada siapa yang menginginkan penceraian, dan satu-satunya perpisahan yang boleh diterima ialah apabila ajal menjemput insan yang kita cintai.

'Sekarang kami dah berbaik, tak jadi cerai' Pasangan suami isteri tak jadi cerai lepas dengar Era FM

Namun, kehidupan berumah tangga ada pasang surutnya. Dugaan yang dihadapi kadangkala mencabar hubungan suami isteri sehingga meletakkan mereka dalam situasi yang sukar.

Apabila usaha untuk mencari titik persamaan gagal, ada pasangan yang terpaksa memilih jalan penceraian sebagai penyelesaian masalah.

Namun, siapa sangka perkara kecil mampu merubah keputusan besar dan menyatukan semula dua hati yang sedang terluka.

Itulah kisah yang dikongsikan oleh sepasang suami isteri menerusi akaun X, @meinmokhtar.

Suami isteri tak jadi cerai kerana radio ERA putar lagu kenangan lama
Menerusi perkongsian tersebut, seorang lelaki menceritakan peristiwa ketika dia sedang menghantar isterinya pulang ke kampung, selepas mereka selesai mengisi borang penceraian.

Dalam perjalanan itu, mereka mendengar siaran radio ERA, yang memutarkan lagu-lagu yang mengimbau kenangan semasa mereka bersama.

Secara tidak diduga, lagu-lagu tersebut menyentuh hati mereka, sehingga pasangan tersebut membuat keputusan untuk berdamai dan membatalkan penceraian.

“Alhamdulillah, sekarang kami dah berbaik, tak jadi cerai,” kata lelaki tersebut.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ERA (Malaysia) kerana secara tidak langsung membantu menyelamatkan rumah tangganya.

ERA FM luahkan kegembiraan

ERA (Malaysia) melalui hantaran di Facebook, turut meluahkan kegembiraan apabila mendengar kisah tersebut, dan berharap pasangan ini terus bahagia.

“Semoga yang baik-baik sahaja untuk awak dan pasangan,” ujar ERA (Malaysia).

Di ruangan komen, ramai netizen mendoakan agar hubungan pasangan tersebut kekal hingga ke akhir hayat. Mereka juga mengingatkan betapa pentingnya untuk menghargai orang yang kita sayangi selagi masih ada.

Hargailah mereka yang sentiasa berada di sisi kita, kerana untuk mendapatkan dan menjaga sesuatu yang berharga bukanlah perkara yang mudah.

BACA: ‘Patutlah suami tukar password lock telefon dia, pelik padahal dah kahwin, lain pula jadi bila mak mertua tahu perangai sebenar suami’