Sedar diri hidup sebatang kara di rumah anak yatim, remaja rahsiakan tawaran masuk Politeknik

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Sedar diri hidup sebatang kara di rumah kebajikan, seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini

Terpaksa menyembunyikan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran akibat kekangan kewangan.

Muhammad Izzat Abd Rahman, 18, yang berstatus anak yatim piatu, pada awalnya cuba merahsiakan tawaran untuk menyambung pengajian peringkat diploma di Politeknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh, Perak.

Walau bagaimanapun, kejayaan tersebut akhirnya diketahui oleh pengasas rumah kebajikan Al-Faeez, Syafiq Mobin, yang kemudiannya berkongsi kisah Izzat di laman X.

“Ceritanya, Izzat adalah anak yatim piatu yang dihantar ke rumah Al-Faeez sejak kecil bersama abangnya.

Sedar diri hidup sebatang kara di rumah anak yatim, remaja rahsiakan tawaran masuk Politeknik

Dia seorang budak pandai tetapi cepat merasa rendah diri kerana hidup tanpa ibu bapa.

“Bagi Izzat, kekurangan ini adalah satu cabaran. Abangnya telah menyertai kem tentera di Sabah. Kini, Izzat pula mendapat tawaran di Politeknik Ungku Omar,” kata Syafiq.

Namun, menurut Syafiq, Izzat hanya memaklumkan tentang tawaran untuk kursus Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di PUO pada Rabu, 24 Julai, iaitu hari terakhir untuk membuat bayaran yuran sebagai pengesahan kemasukan.

“Pagi Rabu, dia baru beritahu kami bahawa dia belum menghantar dokumen kerana tidak mempunyai wang untuk membayar yuran.

“Rasa macam nak luruh jantung sebab hari itu adalah tarikh akhir untuk pembayaran. Jadi pada Khamis, kami seharian uruskan semua ini.

“Kami mencari penghulu kampung, membayar yuran dan menyelesaikan segala urusan lain. Harapnya pihak politeknik akan menerima pendaftaran lewat ini,” kata Syafiq yang menubuhkan rumah kebajikan Al-Faeez pada tahun 2010.

Syafiq, yang menguruskan rumah kebajikan untuk anak yatim piatu, anak yatim serta asnaf bersama lima rakannya, berharap Izzat berjaya mendapat tempat di politeknik tersebut.

“Saya kenal Izzat sejak 2017. Ibu dia telah meninggal sejak dia kecil, dan ayahnya pula meninggal pada 2021. Sebelumnya, dia tinggal di asrama lain sebelum kami mengambil alih penjagaan dia dan abangnya. Izzat adalah seorang yang suka bergurau dan sangat ringan tulang.

“Dalam sukan, dia aktif bermain ragbi. Dari segi akademik, Izzat mudah memahami pelajaran,” katanya menurut laporan mStar.

Umpama mentari pagi yang menerangi alam, Syafiq menerima berita gembira daripada Pengarah Politeknik Ungku Omar pada Jumaat.

“Alhamdulillah, pengarah politeknik itu sendiri telah memberikan perhatian. Kami telah dihubungi oleh pihak pengurusan untuk memberikan bantuan kewangan kepada Izzat.

“Izzat diterima masuk dan diminta hadir untuk melapor diri di PUO pada hari Sabtu.

“Saya dan rakan-rakan berharap Izzat tidak akan mensia-siakan peluang ini. Dia berbelah bahagi untuk ke PUO kerana tidak mahu berjauhan dengan keluarga di Al-Faeez, tempat dia membesar.

“Tetapi hidup perlu diteruskan, dan pelajaran perlu diutamakan. Kami akan sentiasa ada untuk menyokong dan memberi dorongan kepada Izzat hingga dia mencapai cita-citanya,” ujarnya.

BACA: “Mertua yang dulu tatang aku, kini pandang hina, mereka hina anak aku anak sial sebab berpenyakit, see you in court!”