Secebis pengalaman bersama Mat Sabu

Secebis pengalaman bersama Mat Sabu

Masih ada kekawan bertanyakan hubungan aku dengan Mohamad Sabu semasa dalam PAS dahulu. Aku pernah menjawab soalan sama sebelum ini. Hanya kali ini, aku membuat sedikit penambahan.‬

‪Aku dan Mat Sabu bersahabat karib sejak kami menjadi pelajar di Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam pada 1970an.‬

‪Dia senior enam bulan dari aku di ITM. Aku mengambil kursus ACA dalam School of Accountancy, manakala Mat Sabu mengikuti Diploma in Food Technology di School of Science.‬

‪Kami sama-sama aktif dalam pergerakan pelajar sewaktu di ITM. Kami aktif dalam sudut-sudut pidato. Aku dan Mat Sabu tak pernah memegang apa-apa jawatan dalam kepimpinan Kesatuan Siswa Institut Teknologi Mara (KSITM).‬

‪Aku dan Mat Sabu bersama lebih 120 pelajar dipecat dari ITM pada 1976 kerana terlibat dalam demonstrasi pelajar membantah Akta ITM yang mencengkam pergerakan pelajar. Akta ITM itu seumpama Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).‬

‪Kemudian bersama kami menyertai ABIM. Mat Sabu menjadi Setiausaha ABIM Daerah Shah Alam, sementara aku menjadi pegawai Ibupejabat ABIM Pusat sewaktu Anwar Ibrahim menjadi Presiden ABIM.‬

‪Selanjutnya kami menyertai PAS. Mat Sabu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat, dan aku dilantik sebagai Ketua Sekretariat Dewan Pemuda PAS Pusat. Kami menduduki Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat seangkatan dengan Salahuddin Ayub, Khalid Samad dan Mahfuz Omar.‬

‪Bersama rakan-rakan Exco yang lain, kami gerakkan sayap Pemuda PAS ketika PAS diganyang teruk oleh Kerajaan BN yang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menindas pembangkang.‬

‪Berbagai insiden dan isu dalam perjuangan telah kami lalui bersama sewaktu dalam Pemuda PAS, antaranya Peristiwa Memali 19 November 1985.

‪Semasa Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987, bersama 119 orang tokoh politik pelbagai parti dan aktivis masyarakat, Mohamad Sabu ditahan di bawah ISA. Exco Pemuda PAS Pusat yang turut ditahan ketika itu ialah Khalid Samad dan Mahfuz Omar.‬

‪Sewaktu mereka dalam tahanan, aku mendapatkan perlindungan politik di Teheran, Iran.‬

‪Penahanan Mat Sabu semasa Operasi Lalang 1987 merupakan kali yang kedua beliau ditahan ISA. Kali pertamanya pada 10 Julai 1984.‬

‪Aku amat sedih pada waktu aku mengetahui Mat Sabu ditahan ISA pada 1984 dan aku menitiskan air mata apabila mengetahuinya. Aku jarang menangis, tapi begitulah keadaannya apabila sahabat karib menjadi mangsa penindasan dan kezaliman. ‬

‪Semasa Mat Sabu dalam tahanan ISA 1984, aku menunaikan haji. Sebenarnya, kami telah merancang untuk menunaikan haji bersama beberapa orang lagi rakan seperjuangan. Segala persiapan telah diatur, namun tak kesampaian apabila Mat Sabu ditahan ISA. Tiket penerbangan haji yang aku sediakan untuk Mat Sabu, aku tukarkan penama kepada ibu Mat Sabu, Halijah Mat bagi membolehkannya menunaikan haji bersama rombongan aku. ‬

‪Aku menunaikan haji tanpa Mat Sabu, tapi digantikan oleh ibunya.‬

‪Semasa menunaikan fardhu haji itu, Mat Sabu dibebaskan dengan bersyarat dan telah dikenakan Perintah Kediaman Terhad (buang daerah) di Kuala Pilah.‬

‪Sekembalinya dari haji, aku terus melawat Mat Sabu di Kuala Pilah. Sebagai sahabat, aku sentiasa datang menziarahinya setiap minggu.‬

‪Ketika itu [seperti dalam gambar] aku berusia 28 tahun dan Mohamad Sabu 30 tahun. ‬

‪Aku keluar dari PAS pada 23 April 1995 ketika aku menjadi calon dalam pilihanraya umum bagi kawasan parlimen Bandar Tun Razak. Aku telah cuba memaklumkan kepada Mat Sabu pendirian aku itu pada malam terakhir sebelum keluar parti. Namun aku tak berjaya menghubunginya. Kemudian hari, aku diberitahu Mat Sabu ketika itu sedang berkempen di Gua Musang.‬

‪Dua puluh tahun kemudian, Mat Sabu pula keluar PAS dan menubuhkan Parti Amanah Negara.‬

‪Mat Sabu kini ialah Presiden Parti Amanah Negara, aku ialah pegawai parlimen kepada Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat.‬

‪Meskipun berlainan wadah, kami tetap mendukung nilai dan falsafah perjuangan yang sama.‬

Sumber :

 

COMMENTS