Sebar kebencian dan buli siber, media rasmi PPBM diminta mohon maaf dan beri sumbangan

Sebar kebencian dan buli siber, media rasmi PPBM diminta mohon maaf dan beri sumbangan

Bukan sahaja digelar pengkhianat negara, malah segala maklumat dokumen peribadi Duta Malaysia Majlis Rohingya Eropah (ERC), Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi disebarkan di media sosial.

Sentimen kebencian juga dilihat diapi-apikan dengan menjadikan aktivis tersebut sebagai sasaran kemarahan rakyat Malaysia apabila pihak terbabit mendedahkan saman nombor plat kereta serta nombor kad pengenalan Tengku Emma Zuriana untuk semakan status Bantuan Prihatin Nasional.

Selain pengguna Facebook (FB) atas nama individu, kumpulan awam “32 Juta Rakyat Malaysia Tolak Rohingya” dengan seramai 29,809 pengikut turut berbuat demikian.

Malah, lebih mengejutkan laman FB Bersatu.Tv dan Bersatutv yang difahamkan media rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga terjebak dalam menyemai sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat negara ini.

Sehubungan itu, ERC menuntut empat pemilik akaun FB terbabit memohon maaf terhadap Tengku Emma Zuriana atas kenyataan palsu dan tindakan mengaibkan itu.

Dalam kenyataannya hari ini, ERC menyifatkan fitnah terhadap Tengku Emma Zuriana sengaja mahu mengelirukan bagi menimbulkan kebencian orang ramai terhadap dirinya serta pelarian Rohingya.

Empat pemilik akaun FB tersebut berserta jumlah rakan dan pengikut mereka adalah Web Schneider (3,402), Ammar Daniel (jumlah rakan disembunyikan), 32 Juta Rakyat Malaysia Tolak Rohingya (29,809), Bersatu.Tv (7,597), dan Bersatutv (104,000).

“Dengan ini, Majlis Rohingya Eropah dan Duta Malaysianya, YM Tengku Emma Zuriana Bt Tengku Azmi menuntut agar segala penghantaran oleh kesemua entiti dinyatakan tersebut dan mana-mana entiti yang akan dikenalpasti tentang Majlis Rohingya Eropah dan agen-agennya hendaklah ditarik balik atau dipadam disusuli permohonan maaf secara terbuka dengan memuat naikkan di laman media sosial masing-masing dan secara bersurat untuk siaran di laman sesawang Majlis Rohingya Eropah.

“Di samping itu, sumbangan dalam bentuk wang tunai hendaklah dikemukakan kepada Majlis Rohingya Eropah oleh setiap entiti tersebut berdasarkan jumlah kawan dan pengikut mereka,” dipetik dari kenyataan pertubuhan itu.

Tegas ERC, kesemua mereka terbabit hendaklah melaksanakan tuntutan tersebut dalam tempoh tujuh hari selepas kenyataan media ini dikeluarkan.

“Kegagalan berbuat demikian, tindakan undang-undang lanjut akan diambil dan semua ganti rugi dituntut akan diserahkan untuk Majlis Rohingya Eropah.

“Orang ramai juga disarankan membantu dan memberi sumbangan supaya keadilan dapat
dicapai bersama Rohingya,” ujar pertubuhan itu lagi.

Baca berita penuh : https://malaysiadateline.com/majlis-rohingya-eropah-tuntut-media-rasmi-ppbm-tiga-yang-lain-mohon-maaf-beri-sumbangan-tunai/

COMMENTS