“Saya toleh belakang, tiada siapa bersama saya.” Bilal sayu kongsi pengalaman Ramadan tahun ini

“Saya toleh belakang, tiada siapa bersama saya.” Bilal sayu kongsi pengalaman Ramadan tahun ini

Saban tahun, usai menjamah sebiji kurma dan buah buat syarat batal puasa, Ahmad Ibrahim Abdul Basir Khan akan terus menyarung kopiah bergegas ke masjid Tambun Lama Ipoh, bagi menunaikan solat fardu Maghrib hingga ke tarawih.

Bagaimanapun, kelmarin, ketika Ahmad Ibrahim hendak ke masjid, dia dihalang oleh isterinya.

“Saya terlupa pula, nasib baik isteri perasan,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Halangan isteri Ahmad Ibrahim itu disebabkan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang telah berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

PKP- yang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19- mengehadkan pergerakan orang awam, malah turut diarahkan untuk semua masjid dan surau ditutup sementara waktu.

Meskipun masjid ditutup, anak kariah kawasan itu berkata, dia tidak melepaskan peluang pada bulan suci ini untuk bertarawih di rumah.

“Saya percaya ada hikmah. Kita masih boleh bertarawih walaupun tak dapat ke masjid,” katanya lagi.

Bukan hanya Ahmad Ibrahim, rasa pilu itu turut dikongsi oleh beberapa imam dan bilal antaranya Radzali Jaafar.

Berkongsi rutin hariannya, Radzali – setelah melihat jam dan meneguk air – dia akan melaungkan azan Maghrib di surau Bukit Kuda, Klang, sebagai panduan buat umat Islam di kawasannya untuk berbuka puasa.

Bilal itu bagaimanapun mengaku berasa kekok selepas melaungkan azan tahun ini, meskipun sudah 11 tahun menggalas tugas tersebut.

“Selalunya sebelum saya (melaungkan) azan, masjid sudah penuh kerana mereka akan terus menunaikan solat Maghrib.

“Tahun ini, saya toleh belakang, tiada siapa bersama saya,” katanya dengan nada sedih ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Dr Zulkifli Mohamad mengalakkan supaya umat Islam untuk menjalani ibadah puasa dalam kebiasaan baru akibat wabak Covid-19.

Menurutnya, secara alternatif umat Islam boleh menghidupnya tradisi Ramadan dengan bertarawih dan beribadah di rumah.

 

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/522853

COMMENTS